51: KELUAR DARIPADA ALAM KEPADA PENCIPTA ALAM JANGAN KAMU BERPINDAH DARI SATU HAL ALAM KEPADA HAL ALAM YANG LAIN. JIKA DEMIKIAN KAMU ADALAH UMPAMA KELDAI YANG BERPUSING MENGELILINGI PENGGILINGAN, DI MANA IA MENUJU KE SATU TUJUAN, TIBA-TIBA IA KEMBALI KEPADA TEMPAT MULANYA. HENDAKLAH ENGKAU MELINTASI SEMPADAN ALAM DAN MENUJU KEPADA PENCIPTA ALAM. SESUNGGUHNYA KEPADA TUHANMU PUNCAK SEGALA TUJUAN. Keadaan orang yang tidak dapat melepaskan dirinya dari syirik adalah umpama seekor keldai yang terikat dan berpusing menggerakkan batu penggiling. Walaupun jauh jarak yang dijalaninya namun, dia sentiasa kembali ke tempat yang sama. Jika ia mahu bebas perlulah ia melepaskan ikatannya dan keluar dari bulatan yang sempit. Orang yang mahu membebaskan dirinya dari syirik secara keseluruhannya hendaklah membebaskan perhatian hatinya dari semua perkara kecuali Allah s.w.t. Keluar dari bulatan alam dan masuk kepada Wujud Mutlak. Ada beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum mencapai Wujud Mutlak. Peringkat pertama ialah membebaskan diri dari kongkongan penjara alam jasad. Penjara alam jasad ialah hawa nafsu. Di dalam penjara hawa nafsu ini tersedia berbagai-bagai hidangan yang lazat-lazat seperti kekuasaan, kemegahan, kemuliaan, kasihkan puji-pujian, ujub, riak, tamak, dengki dan lain-lain. Jika mahu melepaskan diri dari penjara ini hendaklah berpuasa dari semua makanan yang dihidangkan. Jangan diajak bercakap tentang makanan tersebut kerana jika dibawa kepada perbincangan akan mendatangkan selera. Sembunyikan selera dan lapar walaupun perut bergelora. Sambutlah setiap hidangannya dengan menggelengkan kepala dan palingkan muka ke arah lain. Apabila makanannya tidak dijamah, hawa nafsu tidak ada kuasa lagi memenjarakan seseorang itu. Bebaslah dia keluar dari penjara tersebut. Setelah keluar dari penjara nafsu seseorang itu berhadapan pula dengan penjara dunia. Penjara dunia mempamerkan berbagai-bagai jenis keindahan dan keseronokan dan menjanjikan keabadian. Dunia menghidangkan apa sahaja yang menyenangkan dan memecahkan liur. Di dalam penjaranya seseorang dibenarkan melakukan apa sahaja, menikmati apa jua hidangannya tanpa pantang dan larang. Di dalam penjara dunia ini seseorang dikurung di dalam bilik yang bernama syahwat. Kaki dan tangannya dirantai dengan rantai yang bernama kelalaian. Matanya ditutup dengan penutup yang bernama panjang angan-angan. Di dalam penjara ini makanan hawa nafsu masih lagi dihidangkan kerana dunia dan hawa nafsu sentiasa bekerjasama. Oleh itu setelah berpuasa daripada hidangan hawa nafsu seseorang itu perlu pula mendapatkan alat memutuskan rantai yang mengikatnya dan merobohkan dinding penjara tersebut. Alatnya ialah ingat kepada mati dan huru hara selepas kematian. Inilah alat yang boleh membebaskan seseorang dari penjara dunia. Setelah keluar dari penjara dunia seseorang itu akan masuk ke dalam penjara akhirat. Hidangan di dalam penjara ini ialah pahala, syurga dan bidadari. Rantai yang mengikat seseorang di dalam penjara ini ialah kehendak atau keinginan atau lebih tepat jika dipanggil kesedaran terhadap diri sendiri. Perhatian kepada diri sendiri yang melakukan amal kebaikan menjadikan seseorang lebih terkongkong di dalam penjara akhirat. Kenderaan yang boleh membawanya keluar ialah ilmu, iaitu ilmu yang boleh melepaskan seseorang dari bersandar kepada amalnya dan melihat bahawa amal kebaikan yang keluar dari dirinya adalah kurniaan Allah s.w.t semata-mata. Tanpa kurniaan rahmat dan petunjuk dari Allah s.w.t nescaya tidak akan ada kebaikan pada dirinya. Apabila seseorang telah kuat berpegang kepada kurniaan Allah s.w.t dia akan bebas dari penjara akhirat. Setelah selamat dari penjara akhirat seseorang itu akan masuk pula ke dalam penjara alam malaikat, iaitu penjara alam maujud yang terakhir. Hidangan di dalam penjara ini ialah kehampiran dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Rantai pengikat ialah sisa-sisa kehendak diri sendiri dan kesedaran terhadap diri sendiri yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Pada peringkat ini perlulah dihapuskan semua sekali kehendak, cita-cita, angan-angan, harapan, hajat, fikiran dan segala yang maujud. Apabila kefanaan dari semua yang maujud dicapai, dapatlah dia keluar dari penjara malaikat. Setelah berjaya keluar dari semua jenis penjara alam, seseorang itu masuk ke dalam penjara Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t bukanlah alam, tetapi adalah hal ketuhanan sendiri. Hidangan di dalam penjara ini ialah rahsia yang ghaib-ghaib tentang hukum Allah s.w.t di dalam alam. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t inilah dapat dilihat pentadbiran Ilahi yang menggerakkan alam maya dan semua kejadian yang berlaku di dalamnya. Oleh sebab Ilmu Allah s.w.t sangat luas dan tiada batas sempadan maka penjaranya juga tidak ada sempadan. Sesiapa yang asyik dengan berbagai-bagai ilmu yang terdapat di dalamnya akan terpenjara selama-lamanya di sini, kerana jika mahu dikaji Ilmu Allah s.w.t nescaya seseorang itu akan mati dahulu sebelum sempat mengkaji sebesar zarah dari Ilmu-Nya. Seseorang yang mahu lepas dari penjara ini hendaklah menjadikan ilmu sebagai kenderaan bukan tujuan. Ilmu bukanlah mahkota untuk dijunjung tetapi ia adalah alat untuk berjalan. Apabila ilmu dilayan dengan adil iaitu meletakkannya pada tempat yang patut baginya, dapatlah seseorang itu bebas dari tawanannya. Bila keluar dari penjara ilmu, diri akan masuk ke dalam penjara makrifat. Ia adalah penjara yang paling kukuh. Ilmu Allah dan makrifatullah bukan lagi alam maujud. Apa yang didapati pada kedua-duanya adalah hakikat-hakikat atau hal-hal ketuhanan. Paling tinggi pencapaian ilmu tentang Allah s.w.t ialah: Tidak tahu dan tidak boleh dikatakan apa-apa, kerana tiada sesuatu menyamai-Nya, menyerupai-Nya atau boleh diibaratkan bagi-Nya. Pada martabat makrifat pula setinggi-tinggi pencapaian ialah: Zat diri-Nya tidak boleh dikenal oleh sesiapa pun. Dia kini adalah sebagaimana Dia dahulu, bahkan tidak ada kini dan dahulu pada-Nya. Percubaan untuk mengenal diri Allah s.w.t lebih dari itu adalah sia-sia. Jika dicuba juga maka hasilnya adalah tidak ada apa yang didapati. Sesiapa yang sampai kepada makam makrifat janganlah tinggal terpenjara di dalamnya. Keluarlah dari makrifat baharulah boleh sampai ke Hadrat Allah s.w.t. Tajrid atau penanggalan secara keseluruhannya dari segala-galanya adalah syarat untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Seseorang hendaklah melepaskan ilmu pengetahuannya, amal perbuatannya, makrifatnya, sifatnya, namanya dan semua maklumat, dengan demikian dia bertemu dengan Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal. Dia hendaklah melihat tibanya hidayat dan kemurahan Allah s.w.t, bukan hasil dari amal dan ilmunya. Tinggalkan segala-galanya dan masuklah kepada Hadrat Allah s.w.t. Bagaimana mungkin berbuat demikian? Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah al-Israa’ ) Apa yang kita tidak mengerti dan tidak mempunyai ilmu tentangnya kecuali terlalu sedikit ialah roh. Serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku. ( Ayat 72 : Surah Saad) Roh yang berkait atau dinisbahkan kepada Allah s.w.t itulah yang menghadap kepada Allah s.w.t dan yang dapat masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Roh adalah urusan Allah s.w.t. Bagaimana roh masuk ke Hadrat Allah s.w.t itu juga urusan Allah s.w.t, kamu tidak diberi ilmu tentangnya kecuali teramat sedikit. Pengetahuan yang sedikit itu ialah: “URUSAN ALLAH S.W.T!” Jangan disoal dan diusul lagi. Allah s.w.t adalah puncak segala tujuan, penghabisan segala perjalanan dan tumpuan semua permintaan.
________________________
52: SUCIKAN MAKSUD DAN TUJUAN
PERHATIKAN SABDA RASULULLAH SAW :
“BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA ALLAH DAN RASUL MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA ALLAH DAN RASUL. BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA DUNIA UNTUK MENDAPATKANNYA ATAU WANITA UNTUK MENGAHWININYA, MAKA HIJRAHNYA TERHENTI PADA TUJUAN HIJRAHNYA ITU”.
FAHAMILAH SABDA RASULULLAH SAW TERSEBUT DAN PERHATIKAN PERSOALANNYA JIKA KAMU BOLEH MEMAHAMINYA. DAN, SELAMATLAH ATAS KAMU.
Hikmat ini adalah lanjutan kepada Kalam Hikmat yang lalu. Keluar dari satu hal kepada hal yang lain adalah hijrah juga namanya. Apa yang didapati dari hijrah ialah apa yang dituju atau dimaksudkan dengan hijrah itu. Orang yang keluar dari penjara hawa nafsu dan dunia kerana inginkan syurga, maka pencariannya akan terhenti pada syurga. Orang yang keluar dari penjara akhirat kerana menginginkan kekeramatan akan berhenti bila berjaya memperolehi kekeramatan. Orang yang keluar dari semua penjara alam kerana bermaksud mencapai Ilmu Allah akan berhenti pada ilmu. Orang yang keluar dari kurungan ilmu kerana mahu mendapatkan makrifat akan berhenti pada makrifat. Semua maksud dan tujuan yang telah dinyatakan tadi menghalang seseorang dari masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Hanya satu sahaja tujuan yang benar-benar suci lagi murni, iaitu berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w menyebutkan berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya, bukan berhijrah kepada Allah s.w.t semata-mata.
Hijrah zahir adalah berpindah dari Makkah pergi ke Madinah. Hijrah hati adalah meninggalkan sifat-sifat yang keji dan pergi kepada sifat-sifat yang terpuji. Hijrah rohani adalah meninggalkan segala yang maujud dan pergi kepada Rasul Allah kerana hanya Rasul Allah yang boleh membimbing kepada Allah s.w.t, sesuai dengan penyaksian:
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah.
Ketuhanan Allah s.w.t dan kerasulan Muhammad s.a.w tidak dipisahkan. Rasul Allah adalah umpama jambatan yang menghubungkan segala sesuatu dengan Allah s.w.t. Bagaimana mahu sampai kepada Allah s.w.t jika tidak melalui jambatan-Nya. Apa juga usaha dan jalan yang diambil untuk pergi kepada Allah s.w.t, tidak akan berhasil jika tidak diikuti jalan Rasul Allah. Bahkan bolehlah dikatakan Allah s.w.t tidak mungkin ditemui jika Rasul-Nya tidak ditemui. Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah. Semua nabi-nabi sejak Nabi Adam a.s menyaksikan bahawa Muhammad s.a.w adalah Rasul Allah. Tidak ada kenabian tanpa nur Kenabian Muhammad s.a.w. Tiada syuhud (penyaksian) tanpa syuhud terhadap nur Kebenaran Muhammad s.a.w. Tidak akan sampai kepada Hakikat Allah s.w.t tanpa fana di dalam Hakikat Muhammad s.a.w. Tiada makrifatullah tanpa makrifat Muhammad s.a.w. Begitulah hukum hakikat dan makrifat. Penyaksian ketuhanan Allah s.w.t dan penyaksian kerasulan Muhammad s.a.w tidak boleh bercerai tanggal.
Allah berfirman dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:
Wahai Muhammad! Kamu melihat mereka melihat kamu, dan meskipun mereka melihat kamu namun, mereka tidak mengenal kepada kamu.
Orang yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w adalah Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a. Beliau berkata: "Wahai Rasulullah. Engkau tidak terpisah daripadaku meskipun aku berada di dalam bilik kakus (tempat membuang air) "
Kelebihan Abu Bakar r.a dari sekalian manusia adalah lantaran Sir yang ada pada dirinya. Sir (Rahsia) adalah perkaitan atau jambatan antara roh dengan Allah s.w.t. Sir yang tersembunyi dalam rahsia hati berkekuatan melebihi kekuatan langit dan bumi. Sir dapat memandang tanpa biji mata dan mendengar tanpa telinga. Sir tidak menetap di satu tempat dan tidak pula mengembara. Sir tidak makan dan tidak minum. Akal tidak ada pengetahuan tentang Sir. Sir tidak ada hubungan dengan hukum sebab musabab. Sir hidup dalam abad demi abad, sedangkan jasad hidup dalam waktu tertentu. Bila seseorang yakin tentang sirnya maka dia bukan lagi dirinya. Dia adalah daripada Allah s.w.t, sedangkan sekalian yang maujud datang kemudian daripadanya. Tidak ada satu pun yang datang kemudian daripadanya dapat mengalahkannya, asalkan dia mengenal kedudukannya dan membiasakan duduk di dalam makamnya, maka dengan demikian dia lebih kuat dari bumi dan langit, lebih kuat dari syurga dan neraka, lebih kuat dari huruf dan asma’, lebih kuat dari apa yang nyata di dalam dunia dan akhirat. Bagaimana hubungan hati seseorang dengan Rasulullah s.a.w menentukan kedudukan sirnya. Hati yang menerima pancaran cahaya nur Rasulullah s.a.w dikatakan hati yang ada perkaitan dengan Sir.
Hijrah rohani melalui berbagai-bagai peringkat sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Seseorang salik atau murid yang melakukan hijrah rohani kepada Allah s.w.t tidak akan berhasil mencapai maksudnya jika dia tidak ‘bersama’ Muhammad s.a.w kerana semua pintu langit, semua pintu syurga, semua pintu hijab dan pintu masuk ke Hadrat Allah s.w.t hanya dibuka kepada Muhammad s.a.w dan yang menyertai Muhammad s.a.w. Berhijrah kepada Allah s.w.t tetapi lari dari Muhammad s.a.w adalah kejahilan.
Salik yang benar pada hijrahnya, mula-mula dikurniakan cahaya yang menerangi hatinya, membuatnya merasakan hampir dengan Allah s.w.t, dan hatinya merasakan Allah s.w.t berbicara dengannya. Apa sahaja yang sampai kepada hatinya adalah juru bicara Allah s.w.t. Kemudian dia dibawa kepada makam makrifat iaitu saling kenal mengenal. Jadilah dia seorang yang mengenal Allah s.w.t. Makam ini adalah permulaan makam kesudahan. Ahli tasauf sering mengucapkan:
Permulaan agama ialah mengenal Allah s.w.t.
Hijrah bersama-sama Rasulullah s.a.w meletakkan makrifat sebagai permulaan, sedangkan hijrah tanpa Rasulullah s.a.w menjadikan makrifat sebagai kesudahan jalan. Sebab itu orang yang berhijrah tanpa Rasulullah s.a.w, setelah memperolehi makrifat mereka beragama dengan cara lain dari cara Rasulullah s.a.w beragama. Mereka tidak lagi berpegang kepada Sunah Rasulullah s.a.w. Sebenarnya mereka baharu berada di ambang pintu agama, belum lagi masuk ke dalam gerbang agama yang benar, yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah mencapai makrifat, orang arif menanggalkan segala-galanya. Dia tidak lagi bersandar kepada amal, ilmu, makrifat, aulia yang agung, malaikat dan semua yang selain Allah s.w.t. Dia mengikhlaskan hati pada semua perbuatannya dan niatnya hanya tertuju kepada Allah s.w.t. Dia membenamkan dirinya ke dalam sabar menghadapi apa juga ujian dan fitnah. Kuatlah dia berserah diri dan tawakal kepada Allah s.w.t. Kemudian dia naik kepada reda dengan segala hukum dan takdir Allah s.w.t. Seterusnya dia masuk ke dalam makam syuhud, iaitu menyaksikan-Nya dengan mata hati. Masuklah dia ke dalam makam keteguhan. Pada peringkat ini dia sudah melepasi makam kalbu, kerana kalbu adalah keadaan yang berbalik-balik, berubah-ubah, tidak tetap dan tidak teguh. Bila dia sudah berada dalam keteguhan maka dihulurkan kepadanya perjanjian kewalian. Kewalian bukanlah kekeramatan. Sikap menghubungkan kewalian dengan kekeramatan adalah kesilapan yang besar. Sikap beginilah yang membuat orang tertipu dengan keramat khadam dan jin. Ada pula yang tertipu dengan sihir yang dilakukan oleh syaitan.
Kewalian sebenarnya menggambarkan tentang nama Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang bermaksud Yang Menjaga, Yang Melindungi dan Yang Memelihara. Orang yang dijadikan-Nya wali adalah orang yang dibawa masuk ke dalam wilayah-Nya atau penjagaan, perlindungan dan pemeliharaan-Nya, dari berbalik mata hatinya kepada selain Allah s.w.t. Seorang wali ialah orang yang tetap penglihatan mata hatinya kepada Allah s.w.t walau dia di dalam kesibukan sekalipun. Semua sahabat Rasulullah s.a.w adalah wali-wali tetapi jarang kedengaran mereka mempamerkan kekeramatan. Rasulullah s.a.w sendiri bersama-sama sahabat termulia, Abu Bakar as-Siddik r.a, berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan berjalan kaki dan menaiki unta, bukan terbang di udara dan sampai di Madinah dalam sekelip mata. Aulia Allah yang agung mengatakan kekeramatan adalah permainan kanak-kanak yang diperlukan seseorang untuk meneguhkan iman, sedangkan orang yang sudah teguh imannya tidak memerlukan kepada keramat. Seorang wali Allah s.w.t mengatakan orang yang keramat bukanlah orang yang dapat mengeluarkan wang dari poketnya yang kosong atau menukar daun kayu menjadi wang kertas. Seorang yang keramat ialah orang yang poketnya penuh dengan wang, tetapi bila dia cuba mengambil wang di dalam poketnya itu didapatinya semua wang itu tidak ada, walaupun begitu hatinya tidak berkocak sedikit pun oleh hal tersebut, dia tidak berasa apa-apa. Jadi, kewalian adalah istiqamah iaitu keteguhan bersama-sama Allah s.w.t, bukan kekeramatan. Andainya Allah s.w.t melahirkan kekeramatan melalui wali-Nya itu adalah kerana hikmah yang Dia sendiri mengaturnya kerana tujuan yang hanya Dia mengetahuinya.
Orang yang berada di dalam wilayah-Nya akan dibawa pula kepada makam pilihan. Setelah dipilih-Nya diserahkan amanat dan disingkapkan kepadanya khazanah Rahsia-rahsia-Nya. Orang yang berada pada peringkat ini sudah dapat menyimpan Rahsia-rahsia Allah s.w.t, tidak membeberkannya sebagai barang murahan yang boleh menyebabkan berlaku fitnah kepada orang ramai. Setelah itu semua dilalui, jadilah dia seorang khalil atau sahabat setia. Seorang khalil dapat mencapai makam al-mahabbah (makam cinta). Makam cinta ini dinamakan makam as-Sir iaitu makam Hakikat Muhammad s.a.w. Kefanaan di dalam makam Mahabbah ini membakar segala tutupan dan hijab lalu tersingkaplah kemutlakan. Lalu si hamba masuk ke Hadrat Allah s.w.t dengan didorong oleh tarikan yang kuat oleh cahaya nur yang pada sisi-Nya. Selamatlah si hamba itu sampai ke Hadrat Tuhannya. Allah s.w.t yang memulakan ciptaan-Nya dan mengulanginya. Permulaan segala sesuatu ialah Allah s.w.t dan akhirnya juga adalah Allah s.w.t. Dia Yang Awal dan Yang Akhir. Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.
________________________
53 & 54: WASPADA MEMILIH SAHABAT
JANGAN MENJADIKAN SAHABAT (TEMAN HIJRAH) AKAN ORANG YANG TIDAK MEMBANGKITKAN SEMANGAT KEPADA ALLAH S.W.T DAN PERKATAANNYA TIDAK MEMIMPIN KE JALAN ALLAH S.W.T.
KEMUNGKINAN ENGKAU KELIRU TETAPI MENGANGGAPKAN ENGKAU BENAR LANTARAN PERSAHABATAN ENGKAU DENGAN ORANG YANG LEBIH RENDAH HALNYA (KEADAAN ROHANINYA) DARI KAMU.
Orang yang melakukan perjalanan cenderung membawa sahabat bersama-samanya. Ada sahabat berfungsi sebagai khadam. Ada sahabat yang berguna untuk berbicara dan ada sahabat yang boleh menjadi penunjuk jalan. Muhajirin (orang yang berhijrah) kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya tidak memerlukan khadam. Dia mungkin memerlukan sahabat berbicara, tetapi yang sangat diperlukannya ialah sahabat yang boleh menjadi penunjuk jalan. Seseorang haruslah berhati-hati dalam memilih sahabat penunjuk jalan. Orang yang hendak dijadikan pembimbing itu hendaklah seorang yang boleh membangkitkan semangat untuk bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan perkataannya mengandungi hikmah yang menggerakkan hati agar menghadap Allah s.w.t.
Orang yang layak membimbing orang lain pada jalan kerohanian adalah orang yang telah menempuh sendiri jalan tersebut dan telah mengalami hal-hal (hakikat-hakikat) serta memperolehi makrifat. Mungkin sukar untuk kita mengetahui hal sebenar orang yang demikian namun, sekiranya diperhatikan, pengalaman dan pencapaiannya terbayang pada kelakuan dan pertuturannya. Kelakuannya membangkitkan semangat orang di sekelilingnya agar beramal bersungguh-sungguh bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perkataannya pula mengandungi nasihat dan tunjuk ajar yang menggerakkan hati supaya menghadap kepada Allah s.w.t. Apabila orang yang sedang menjalani jalan kerohanian bersahabat dengan orang arif yang demikian, dia akan dapat menghilangkan kekeliruan yang mungkin dialaminya semasa pengembaraannya. Sekiranya si salik memilih sahabat dari kalangan orang yang tidak pernah mengalami zauk hakikat dan makrifat dan kedudukan kerohanian orang tadi jauh lebih rendah daripadanya, si salik itu tidak akan mendapat bimbingan yang diharapkannya. Kehadiran sahabat yang demikian mungkin tidak membangkitkan semangat untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t dan ucapannya tidak melahirkan keghairahan menghadap Allah s.w.t. Lebih bahaya lagi jika dia memberi petunjuk yang salah kepada si salik. Kemungkinan terjadi si salik melakukan kesalahan tetapi dia tidak menyedari akan kesalahan tersebut, dan sahabatnya juga tidak menyedarinya. Si salik itu terus berpegang pada pendapat yang salah dan sahabatnya memberi sokongan. Dia menganggap benar apa yang sebenarnya salah. Sekiranya perkara yang salah itu melibatkan soal akidah, kemungkinan salah iktikad itu membawa kepada kekufuran.
Bertambah jauh perjalanan bertambah banyak perkara pelik yang dialami dan kekeliruan yang dihadapi menjadi bertambah sulit. Hanya sahabat yang terdiri daripada orang arif dapat menerangkan setiap pengalaman kerohanian yang dilalui dan menyingkap segala kekeliruan yang dihadapi.
Syaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang dan menyesatkan orang yang cuba berjalan di atas jalan yang lurus.
Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan agama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): ‘Marilah bersama-sama kami’. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian makhluk”. ( Ayat 71 : Surah al-An’aam )
Orang yang dikelirukan oleh syaitan tidak dapat mengenali sahabat yang benar-benar mengajak kepada petunjuk. Syaitan membuatnya menjadi bingung, lalu dia menyangka bahawa dia sudah berada di atas jalan yang lurus sedangkan dia telah tersalah jalan. Sahabat memainkan peranan yang penting dalam membantu seseorang mencari yang hak.
________________________
55: ZAHID DAN RAGHIB
BUKAN SEDIKIT (NILAINYA) AMAL YANG KELUAR DARI HATI SI ZAHID, DAN TIDAK BANYAK (NILAINYA) AMAL YANG KELUAR DARI HATI SI RAGHIB.
Kita telah diajak keluar dari alam kepada Pencipta alam, berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Kita diajar supaya memilih sahabat yang dapat membangkitkan semangat untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dan berbuat taat kepada-Nya. Hikmat 55 ini memberi gambaran apakah hijrah rohani itu akan berjaya atau gagal. Alat untuk menilainya ialah dunia. Bagaimana kedudukan dunia di dalam hati akan mempengaruhi perjalanan kerohanian.
Manusia terdiri dari dua unsur iaitu tubuh kasar dan hati seni. Gabungan dua unsur tersebut membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang boleh membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar adalah umpama muka cermin yang gelap dan hati seni pula umpama muka cermin yang terang. Gabungan badan yang gelap dan hati yang terang menyebabkan manusia berkebolehan untuk menerima pancaran Nur Ilahi atau disebut juga menerima tajalli, iaitu melihat sesuatu tentang Allah s.w.t dengan mata hati. Malaikat hanya mempunyai tubuh yang terang dan binatang pula hanya mempunyai badan yang gelap. Makhluk yang mempunyai hanya satu jenis badan tidak sesuai untuk menjadi cermin yang menerima sinaran Nur Ilahi.
Manusia dalam keadaan keasliannya berkebolehan menerima sinaran Nur Ilahi, iaitu menerima tajalli Allah s.w.t. Tetapi, keadaan yang asli itu tertutup, terpendam atau tertimbus kerana manusia hidup dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan keharmonian gabungan badan yang gelap dengan hati yang terang.
Di dunia wujud satu makhluk bangsa jin yang dijadikan daripada cahaya api dan dinamakan syaitan. Cahaya api ini berkebolehan untuk menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan mengubah suasananya sehingga hilang fungsinya sebagai cermin yang menahan cahaya. Oleh sebab gangguan cahaya api itulah hati manusia tidak dapat menerima sinaran Nur Ilahi. Nur Ilahi yang memancarkan tanda-tanda, peringatan dan sebagainya tidak melekat pada cermin hati, sebaliknya cahaya tersebut menyeberang keluar. Walaupun nabi-nabi membacakan ayat-ayat Allah s.w.t dan memperlihatkan mukjizat, tetapi hati yang demikian tidak dapat menerimanya. Apa yang datang itu berlalu begitu sahaja tidak terlekat pada hati. Manusia yang demikian, yang kebolehannya yang asli terganggu itu dinamakan si raghib.
Hati si raghib yang sudah menjadi cermin yang tembus cahaya, akan menerima kedatangan kebenaran secara samar-samar kerana yang sejati tidak melekat pada cerminnya. Kesamaran itu akan menimbulkan keraguan dan sangkaan. Dalam keadaan demikian si raghib tidak lagi melihat kebenaran yang asli. Sangkaan telah menggubah ‘kebenaran’ yang dilihat oleh si raghib itu. Bila cahaya yang asli tidak melekat pada hati, syaitan memainkan peranannya dengan memancarkan cahayanya kepada hati untuk menambahkan kesamaran dan kekeliruan . Hasilnya muncullah jelmaan yang mengambil alih tempat kebenaran. Jelmaan itulah yang dianggap sebagai kebenaran oleh si raghib. Dalam suasana demikian, sekiranya dia beramal, maka amalannya berpandukan kepada jelmaan yang dipancar oleh syaitan bukan bersumberkan kebenaran yang asli. Walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, tidak ada yang menepati dengan yang benar, dan tidak ada nilainya.
Orang yang mendapat petunjuk dari Allah s.w.t menyedari kesilapan yang berlaku kepada si raghib, dan dia akan berusaha untuk mengembalikan keaslian dirinya dengan memisahkan hatinya dari dunia dan cahaya api yang menerangi dunia. Dia berusaha untuk keluar dari dunia. Keluar dari dunia bukan bermakna mati. Maksudnya ialah mengwujudkan suasana hati yang tidak ada dunia di dalamnya. Ketika membincangkan Kalam Hikmat 51 telah disentuh tentang cara-cara melepaskan diri dari penjara dunia. Apabila dunia tidak mampu lagi mengenakan tipu daya, seseorang manusia itu akan kembali kepada keasliannya yang berkebolehan menangkap kebenaran. Tidak ada lagi kesamaran dan jelmaaan yang mengganggu hatinya. Apa yang datang kepada hatinya adalah kebenaran yang sejati, tidak dibayangi oleh kepalsuan. Orang yang telah bebas dari penjara dunia itu dinamakan zahid yang bersifat zuhud Si zahid melihat sesuatu sebagaimana semestinya dilihat. Apabila dia beramal maka amalnya bertepatan dengan sebagaimana yang mesti diamalkan. Apa juga amal yang keluar daripadanya adalah amal yang benar dan tidak sia-sia. Sebab itu tidak boleh dianggap sedikit amal yang keluar dari si zahid.
Hati hendaklah bebas daripada kasihkan dunia, kemegahan dan kemuliaannya. Kepentingan duniawi akan menghilangkan sifat ikhlas daripada hati. Orang yang ikhlas, walaupun hidup dalam dunia, melakukan kebaikan kepada makhluk Allah s.w.t tanpa memandang kepada apa juga tawaran yang dibuat oleh dunia. Hubungan amalan yang ikhlas dengan Tuhan adalah ketaatan bukan kepentingan. Hamba melakukan kebaikan dan kebajikan atas dasar melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )
Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar. ( Ayat 5 : Surah al-Bayyinah )
Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah s.w.t melakukan segala pekerjaan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. Mereka tidak mempersekutukan amal mereka dengan sesuatu, baik anasir alam mahupun kepentingan diri sendiri. Merekalah hamba Allah s.w.t yang hanif, yang sentiasa berpegang kepada kebenaran. Kehanifan itu menjadi kemudi pada hati mereka. Hati akan segera memberontak jika kebenaran diperkosakan. Bila hati sudah dikemudikan oleh sifat hanif, haluan akan lari daripada kesesatan. Diri yang demikian akan dipenuhi oleh ketaatan kepada Allah s.w.t. Jadi, ikhlas, tidak berbuat kemusyrikan dan kesesatan, hanif dan mentaati Allah s.w.t adalah agama yang sebenarnya.
Ahli-ahli sufi bersepakat bahawa jika diisikan dunia ke dalam hati pasti tidak akan ditemui Allah s.w.t, dan sekiranya Allah s.w.t bertempat di hati pasti tidak ada dunia di dalamnya. Orang yang memiliki hati yang diisikan dengan Allah s.w.t semata-mata adalah orang yang benar-benar berjiwa besar. Orang yang meletakkan dunia di atas takhta kerajaan hatinya adalah orang yang cuba menipu Allah s.w.t dan kaum muslimin seluruhnya.
_________________________
56: AMAL, AHWAL DAN MAKAM
BAIKNYA AMAL ADALAH HASIL DARI BAIKNYA AHWAL (HAL-HAL) DAN BAIKNYA AHWAL ADALAH KERANA PENETAPAN MAKAM YANG DIKURNIAKAN ALLAH S.W.T.
Hikmat yang lalu mengaitkan nilai amal dengan zuhud hati terhadap dunia. Hati yang zuhud tidak terlindung dari Nur Ilahi. Hati yang menerima cahaya Nur Ilahi akan mendapat pengalaman kerohanian yang dinamakan ahwal (hal-hal). Ahwal yang menetap pada hati dinamakan makam.
Orang raghib yang hatinya tertutup dari menerima sinaran Nur Ilahi tidak dapat mengalami ahwal. Hati yang seperti ini tidak dapat bertahan bila menerima ujian. Jiwanya akan menjadi gelisah apabila bermasalah. Syaitan akan menguasai hatinya sepenuhnya. Syaitan akan mengwujudkan gambar-gambar yang menunjukkan cara-cara menyelesaikan masalah yang dihadapi. Cara yang paling disarankan oleh syaitan ialah membunuh diri. Syaitan akan memberi gambaran bahawa membunuh diri adalah penyelesaian yang paling baik dan paling suci. Ada penganut beberapa kepercayaan menganggap membunuh diri satu jenis jihad yang menyampaikan seseorang ke syurga. Pahlawan Jepun dahulu kala membunuh diri jika gagal melaksanakan perintah raja mereka. Wanita Hindu zaman dahulu terjun ke dalam api yang sedang membakar mayat suaminya. Ada pula orang membunuh diri dengan cara berlapar kerana kononnya berjuang menentang kezaliman. Ada orang yang membunuh diri kerana ditinggalkan kekasih dan mereka berasa megah kerana nama mereka akan diukir dalam sejarah sebagai kekasih yang setia. Semua perbuatan tersebut dianggap suci oleh pelaku-pelakunya kerana mereka sudah memiliki nilai kebenaran yang tersendiri, iaitu kebenaran yang lahir dari kilauan cahaya api syaitan, bukan kebenaran yang sejati.
Ahli zuhud mengalami hal yang berbeza. Mereka juga menerima bala bencana seperti orang lain, tetapi sebelum hamba-Nya yang dikasihi-Nya itu jatuh ke dalam jurang kebinasaan, Allah s.w.t menyinarkan hati si hamba itu dengan Nur-Nya. Hati zahid yang diterangi oleh Nur Ilahi akan mengalami satu suasana yang dipanggil sabar. Aliran kesabaran berjalan di dalam hatinya dan diteguhkan kedudukan kesabaran di dalam hatinya itu sehingga menjadi keperibadiannya. Dia dikatakan mempunyai sifat sabar. Walaupun tempuh bala bencana sudah tamat, tetapi sifat sabarnya tidak hilang dan berguna dalam menghadapi bencana yang lain pula. Kesabaran yang sudah menjadi sifat hati itu bertindak sebagai tenaga yang menarik sifat-sifat kebaikan yang lain supaya datang kepadanya. Kesabaran yang datang bersama-sama bala bencana yang dihadapinya pertama dahulu dinamakan hal dan kesabaran yang menetap sebagai sifatnya dinamakan makam. Apabila Allah s.w.t mengurniakan hal kepada hamba-Nya, kemudian hal itu menetap menjadi makam, akan terhasillah amal kebaikan yang berterusan, bukan setakat didatangi hal itu sahaja. Hal yang telah menetap dan menjadi makam itu memperteguhkan hati sehingga ia mampu menerima hal-hal yang lain pula. Hal-hal (ahwal) yang datang kemudian itu menetap pula menjadi makam atau sifatnya yang berkekalan. Begitulah hatinya dipenuhi oleh sifat-sifat kebaikan sehingga tidak ada lagi sifat buruk pada hatinya.
Kehidupan dunia ini merupakan medan buat manusia membentuk amalannya, iaitu amalan zahir dan amalan batin. Amalan zahir banyak menyentuh aspek kehidupan di dalam dunia. Amalan batin pula banyak menyentuh soal kehidupan sesudah meninggalkan dunia. Amalan batin lebih diutamakan kerana ia mengandungi niat, iman, ikhlas, sabar, reda, tawakal, hanif dan lain-lain yang menentukan nilai sesuatu amal itu.
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia adalah Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); - ( Ayat 2 : Surah al-Mulk )
Allah s.w.t mendahulukan peringatan tentang maut daripada peringatan tentang hidup. Maut hanya wujud pada kehidupan dunia ini. Pada kehidupan akhirat maut tidak ada. Hidup yang dibayangi oleh maut ini merupakan ujian. Hidup adalah kesempatan dan peluang untuk membuat persiapan bagi melangkahi jambatan maut, pergi ke tempat yang tidak ada amal dan tidak ada mati. Lihatlah kepada buku catatan amalan masing-masing. Lihatlah kepada usia yang sudah berlalu. Mampukah amalan yang ada menyelamatkan diri sesudah menyeberangi jambatan maut nanti?
Allah s.w.t bukakan dua jalan kepada mereka yang masih ada hayat di dunia. Jalan pertama membawa mereka menemui Allah al-Aziz, Maha Perkasa, Maha Keras (Maha Strict), tidak ada kasihan belas kepada pesalah dan hukuman-Nya sangat berat. Jalan kedua membawa mereka menemui Allah al-Ghafur, Maha Pengampun, Maha Bertolak-ansur, Maha Tidak Berkira, dimaafkan-Nya segala dosa walau berapa banyak sekalipun. Buatlah pilihan ketika masih ada hayat dikandung badan.
Bagi mereka yang mahu menemui Allah al-Ghafur, Dia memberitahukan caranya.
Seketika dia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci murni. ( Ayat 84 : Surah as-Saaffaat )
Mereka yang layak berada di bawah naungan rahmat keampunan Allah s.w.t adalah mereka yang dengan kesucian hatinya menyerahkan diri dan jiwa raganya kepada Tuhan. Mereka menolak segala bentuk pertuhanan yang selain Allah s.w.t. Mereka bersedia menjalankan apa jua perintah Allah s.w.t tanpa takwil. Mereka adalah para hamba yang ikhlas atau bertajrid iaitu melepaskan diri dari segala yang mengikat. Tidak ada pergantungan, sandaran, tempat meminta, tempat berharap dan tempat mengadu kecuali Allah s.w.t. Mereka adalah para hamba yang masuk ke dalam urusan Allah s.w.t, dijaga dan dipelihara oleh Tuhan. Orang yang dipelihara kesucian hatinya sehingga ke akhir hayatnya itu akan kembali kepada Tuhannya dengan sejahtera.
__________________________
57: PERANAN ZIKIR
JANGAN MENINGGALKAN ZIKIR LANTARAN ENGKAU BELUM SELALU INGAT KEPADA ALLAH S.W.T KETIKA BERZIKIR, SEBAB KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA TIDAK BERZIKIR LEBIH BAHAYA DARIPADA KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA KAMU BERZIKIR. SEMOGA ALLAH S.W.T MENAIKKAN DARJAT KAMU DARIPADA ZIKIR DENGAN KELALAIAN KEPADA ZIKIR YANG DISERTAI INGAT KEPADA ALLAH S.W.T, DAN MUDAH-MUDAHAN ALLAH S.W.T AKAN MENGANGKAT KAMU DARIPADA ZIKIR YANG BESERTA KEHADIRAN ALLAH S.W.T DI DALAM HATI KAMU KEPADA ZIKIR DI MANA LENYAPNYA SEGALA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T. HAL YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SUKAR BAGI ALLAH S.W.T.
Empat keadaan yang berkaitan dengan zikir:
1: Tidak berzikir langsung.
2: Berzikir dalam keadaan hati tidak ingat kepada Allah s.w.t.
3: Berzikir dengan disertai rasa kehadiran Allah s.w.t di dalam hati.
4: Berzikir dalam keadaan fana dari makhluk, lenyap segala sesuatu dari hati, hanya Allah s.w.t sahaja yang ada.
Bukanlah sukar bagi Allah s.w.t untuk mengubah suasana hati hamba-Nya yang berzikir dari suasana yang kurang baik kepada yang lebih baik hingga mencapai yang terbaik.
Kerohanian manusia berada dalam beberapa darjat, maka suasana zikir juga berbeza-beza, mengikut darjat rohaninya. Darjat yang paling rendah adalah si raghib yang telah tenat dikuasai oleh syaitan dan dunia. Cahaya api syaitan dan fatamorgana dunia menutup hatinya sehingga dia tidak sedikit pun mengingati Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Allah s.w.t tidak melekat pada hatinya. Inilah golongan Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Golongan ini tidak berzikir langsung.
Golongan kedua berzikir dengan lidah tetapi hati tidak ikut berzikir. Lidah menyebut nama Allah s.w.t, tetapi ingatan tertuju kepada harta, pekerjaan, perempuan, hiburan dan lain-lain. Inilah golongan orang Islam yang awam. Mereka dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir kerana dengan meninggalkan zikir mereka akan lebih dihanyutkan oleh kelalaian.. Tanpa zikir, syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai ‘juru ingat’. Sebutan lidah menjadi teman yang mengingatkan hati yang lalai. Lidah dan hati berperanan seperti dua orang yang mempunyai minat yang berbeza. Seorang enggan mendengar sebutan nama Allah s.w.t, sementara yang seorang lagi memaksanya mendengar dia menyebut nama Allah s.w.t. Sahabat yang berzikir (lidah) mestilah memaksa bersungguh-sungguh agar temannya (hati) mendengar ucapannya. Di sini terjadilah peperangan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang disokong oleh tenaga dunia yang cuba menghalang tenaga zikir dari memasuki hati.
Golongan yang ke tiga pula adalah mereka yang tenaga zikirnya sudah berjaya memecahkan dinding yang dibina oleh syaitan dan dunia. Ucapan zikir sudah boleh masuk ke dalam hati. Tenaga zikir bertindak menyucikan hati daripada karat-karat yang melekat padanya. Pada mulanya ucapan zikir masuk ke dalam hati sebagai sebutan nama-nama Allah s.w.t. Setelah karat hati sudah hilang maka sebutan nama-nama Allah s.w.t akan disertai oleh rasa mesra yang mengandungi kelazatan. Pada peringkat ini zikir tidak lagi dibuat secara paksa. Hati akan berzikir tanpa menggunakan lidah. Sebutan nama-nama Allah s.w.t menghalakan hati kepada Empunya nama-nama, merasai sifat-sifat-Nya sebagaimana dinamakan.
Golongan ke empat ialah mereka yang telah sepenuhnya dikuasai oleh Haq atau hal ketuhanan. Mereka sudah keluar dari sempadan alam maujud dan masuk ke dalam hal yang tidak ada alam, yang ada hanya Allah s.w.t. Tubuh kasar mereka masih berada di atas muka bumi, bersama-sama makhluk yang lain. Tetapi, kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada, maka kewujudan sekalian yang maujud tidak sedikit pun mempengaruhi hatinya. Mereka karam dalam zikir dan yang dizikirkan. Mereka yang berada pada tahap ini telah terlepas dari ikatan manusiawi dan seterusnya mencapai penglihatan hakiki mata hati, sebagaimana yang telah dinyatakan ketika membincang Hikmat 45.
Mereka yang mempunyai penglihatan hakiki mata hati ada dua jenis. Jenis pertama adalah yang mempunyai nama dan tabir penutup. Hijab nama (asma’) tidak terangkat lalu dia melihat di dalam hijab. Dia melihat Allah s.w.t pada apa yang menghijabkannya. Zikirnya ialah nama yang padanya dia melihat Allah s.w.t. Jenis kedua pula ialah yang berpisah dengan nama dan hijab, lalu dia melihat Allah s.w.t dan merasakan ketenangan dengan penglihatan itu. Pada ketika itu tidak sepatah pun ucapan yang terucap olehnya dan tidak sepatah pun kalam yang terdengar padanya. Dia melihat nama itu tidak mempunyai kekuatan hukum apa pun selain-Nya. Bila nama dinafikan tibalah pada wusul (sampai). Bila tidak terlintas lagi nama tibalah pada ittisal (perhubungan). Nama yang tidak lagi terlintas disebabkan kuatnya tarikan dari yang dinamai. Makam ini dinamakan makam al-Buhut (kehairan-hairanan), kerana dia melihat Allah s.w.t dalam kehairan-hairanan, tiada ucapan kecuali pandangan. Inilah makam terakhir di mana semua hati terhenti di situ. Ia adalah tingkatan tertinggi tentang kecintaan terhadap zat Ilahiat.
Pada tahap ini Nur-Nya memancar, menyinar, menjulang naik ke lubuk hati. Peringkat ini sudah tiada zikir dan tiada pula yang berzikir, hanyalah memandang bukan berzikir dan tiada berbalik kembali pandangannya. Inilah hal yang dikatakan faham dengan tiada huraian pemahamannya dan mencapai dengan tiada sesuatu pencapaiannya. Insan di dalam hal ini sudah tidak lagi memohon fatwa, tidak memohon perkenan, tidak meminta pertolongan dan ucapan juga tiada. Baginya setiap sesuatu adalah ilmu dan setiap ilmu adalah zikir. Inilah hamba yang telah benar-benar berjaya menghimpun semua makam dan martabat. Dia sudah melihat takdir-takdir dan melihat bagaimana Allah s.w.t menghalau takdir demi takdir dan melihat bagaimana Allah s.w.t mengulangi takdir-takdir itu dengan berbagai-bagai cara yang dikehendaki-Nya kerana sesungguhnya Allah s.w.t sahaja yang memulakan penciptaan dan Dia juga yang mengulanginya. Penglihatannya tidak berbolak-balik lagi. Dia melihat Allah s.w.t di hadapan dan di belakang apa yang dilihatnya dan melihat Allah s.w.t dalam segala yang dilihatnya.
Apabila kerinduan terhadap Allah s.w.t telah menguasai hati seseorang hingga kepada tahap tiada ucapan yang boleh diucapkan maka keadaan itu dikatakan melihat Allah s.w.t yang tiada sesuatu yang menyamai-Nya, sebagaimana firman-Nya:
Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran)-Nya, dan Dia jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ( Ayat 11 : Surah asy-Syura )
___________________________
58: TANDA MATINYA HATI
SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA MATINYA HATI IALAH APABILA TIDAK BERASA SEDIH JIKA TERLEPAS SESUATU AMAL KEBAIKAN DARIPADANYA DAN TIDAK MENYESAL JIKA TERJADI PERBUATAN YANG TIDAK BAIK OLEHNYA.
Kita telah dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir walaupun tidak hadhir hati ketika berzikir. Begitu juga dengan ibadat dan amal kebaikan. Janganlah meninggalkan ibadat lantaran hati tidak khusyuk ketika beribadat dan jangan meninggalkan amal kebaikan lantaran hati belum ikhlas dalam melakukannya. Khusyuk dan ikhlas adalah sifat hati yang sempurna. Zikir, ibadat dan amal kebaikan adalah cara-cara untuk membentuk hati agar menjadi sempurna. Hati yang belum mencapai tahap kesempurnaan dikatakan hati itu berpenyakit. Jika penyakit itu dibiarkan, tidak diambil langkah mengubatinya, pada satu masa, hati itu mungkin boleh mati. Mati hati berbeza daripada mati tubuh badan. Orang yang mati tubuh badan ditanam di dalam tanah. Orang yang mati hatinya, tubuh badannya masih sihat dan dia masih berjalan ke sama ke mari di atas muka bumi ini.
Jika kita renungi kembali kepada diri zahir manusia, kita akan dapat menyusunnya sebagai tubuh, nyawa, naluri-naluri dan akal fikiran. Bila dibandingkan dengan haiwan, kita akan mendapati susunan haiwan seperti susunan manusia juga.. Haiwan mempunyai tubuh badan, nyawa dan naluri-naluri. Bezanya adalah haiwan tidak mempunyai akal fikiran. Oleh sebab manusia memiliki akal fikiran maka manusia boleh diistilahkan sebagai haiwan yang cerdik.
Haiwan yang cerdik (manusia), dipanggil nafsu natiqah menurut istilah tasauf . Pemilikan akal tidak mengubah manusia dari status kehaiwanan. Jika ada haiwan berbangsa monyet, harimau, kuda dan lain-lain, maka ada haiwan berbangsa manusia. Haiwan berbangsa manusia menjadi raja memerintah semua haiwan yang lain. Akal fikiran yang ada pada mereka membuat mereka boleh membentuk kehidupan yang lebih sempurna dari haiwan lain yang tidak berakal. Akal fikiran juga mampu membuat haiwan bangsa manusia menawan daratan, lautan dan udara. Walaupun mereka berjaya menawan daratan dengan kenderaan mereka namun, itu tidak membezakan mereka daripada kuda dan haiwan lain yang mampu juga menawan daratan. Walaupun mereka berjaya menawan lautan namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan ikan yang juga menggunakan lautan. Walaupun mereka berjaya menawan udara namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan burung yang juga menggunakan udara. Kemampuan yang ditunjukkan oleh akal fikiran tidak mengubah status haiwan yang ada pada manusia. Apakah yang menjadikan manusia sebagai insan, bukan haiwan?
Manusia menjadi istimewa kerana memiliki hati rohani. Hati mempunyai nilai yang mulia yang tidak dimiliki oleh akal fikiran. Semua anggota dan akal fikiran menghala kepada alam benda sementara hati rohani menghala kepada Pencipta alam benda. Hati mempunyai persediaan untuk beriman kepada Tuhan. Hati yang menghubungkan manusia dengan Pencipta. Hubungan dengan Pencipta memisahkan manusia daripada daerah haiwan dan mengangkat darjat mereka menjadi makhluk yang mulia. Hati yang cergas, sihat dan dalam keasliannya yang murni, berhubung erat dengan Tuhannya. Hati itu menyuluh akal fikiran agar akal fikiran dapat berfikir tentang Tuhan dan kejadian Tuhan. Hati itu menyuluh juga kepada anggota tubuh badan agar mereka tunduk kepada perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya. Hati yang berjaya menaklukkan akal fikiran dan anggota tubuh badannya serta mengarahkan mereka berbuat taat kepada Allah s.w.t adalah hati yang sihat.
Hati yang sihat melahirkan takwa, iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t. Takwalah yang membezakan kedudukan seseorang hamba pada sisi Tuhan. Semakin tinggi darjat ketakwaan semakin hampir seorang hamba dengan Tuhannya. Semakin rendah darjat takwa semakin hampir seseorang dengan daerah kehaiwanan. Jika takwa tidak ada jadilah manusia itu haiwan yang pandai berfikir dan berkata-kata.
Haiwan yang pandai berfikir inilah yang dikatakan manusia yang mati hatinya. Dia tidak dapat menggerakkan fikiran dan anggotanya menuju kepada Allah s.w.t. Bahagian yang menghala kepada Pencipta tidak berfungsi, hanya bahagian yang menghala kepada alam benda merupakan bahagian yang aktif. Manusia yang mati hatinya atau manusia yang berbangsa haiwan ini tidak berasa sedih jika terlepas peluang baginya untuk melakukan amalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan dan dia tidak berasa kesal jika dia berbuat dosa dan maksiat yang menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.
Kematian hati tidak dapat dikenal jika seseorang itu mengambil daya nilai keduniaan sebagai piawaian. Ramai orang yang menurut pengertian tasauf sudah mati hatinya tetapi mereka mencapai berbagai-bagai kecemerlangan dalam kehidupan dunia. Mereka menjadi pemimpin kepada orang ramai. Mereka menciptakan berbagai-bagai benda keperluan manusia. Mereka berjaya mendaki Gunung Everest. Mereka memegang bermacam-macam rekod kejohanan. Mereka menguasai kekayaan dan berbagai-bagai lagi kejayaan dan kecemerlangan.
Apa juga kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi hendaklah diletakkan di atas neraca akhirat. Jika kejayaan dan kecemerlangan itu mampu menambahkan berat dacing kebaikan, maka kejayaan dan kecemerlangan itu adalah benar. Jika tidak ia hanyalah fatamorgana.
________________________
59 & 60: DOSA DAN BAIK SANGKA
TIDAKLAH BESAR SESUATU DOSA MELEBIHI SESUATU YANG MENGHALANG KAMU BERBAIK SANGKA KEPADA ALLAH S.W.T. BARANGSIAPA MENGENAL TUHANNYA NESCAYA MELIHAT KECILNYA DOSA.
TIDAK ADA DOSA KECIL JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN KEADILAN-NYA DAN TIDAK ADA DOSA BESAR JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN KURNIAAN-NYA.
Allah s.w.t menurunkan syariat kepada umat manusia melalui nabi-nabi-Nya. Syariat menentukan hukum-hukum yang wajib dipatuhi. Hukum itu terdiri daripada dua jenis, satu yang wajib dibuat dan satu lagi yang wajib tidak dibuat. Perlakuan yang menyalahi hukum dinamakan dosa. Tidak melakukan yang wajib dilakukan adalah berdosa. Melakukan yang wajib tidak dilakukan juga berdosa. Syarat penerimaan dosa adalah kesedaran dan kerelaan hati dalam perbuatan tersebut. Perbuatan yang menyalahi hukum jika dibuat tanpa kesedaran, dan dengan terpaksa tidak dikatakan berdosa. Jika meninggalkan sembahyang kerana tertidur sebelum masuk waktu wajib sembahyang dan terjaga dari tidur setelah luput waktu sembahyang, maka meninggalkan sembahyang selama tempoh tertidur itu tidaklah berdosa. Seorang yang sedang kebuluran dan tidak ada makanan yang halal ditemuinya, yang ada hanyalah seketul daging khinzir yang syariat mengharamkan memakannya, jika dia memakan daging tersebut tidaklah dikira dia berdosa. Jika keadaan tidak sedar sengaja diadakan, seperti sengaja meminum arak kemudian ketika mabuk itu dia melakukan maksiat, maka dia mendapat dua dosa, iaitu dosa meminum arak dan dosa melakukan maksiat setelah sengaja tidak menyedarkan dirinya. Sengaja mengwujudkan suasana darurat untuk menyalahi hukum tidak melepaskan dari beban dosa. Misalnya, seorang pesakit yang membuat alasan penyakitnya hanya boleh sembuh dengan meminum arak menurut nasihat doktor kafir, maka perbuatan meminum arak secara ini hukumnya berdosa.
Dosa disabitkan kepada pelanggaran syariat dan syariat pula dicipta oleh Allah s.w.t. Jadi, pada hakikatnya dosa adalah ditentukan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t yang meletakkan hukum. Tidak taat kepada Allah s.w.t itulah sebenarnya dosa. Syariat boleh berubah tetapi Allah s.w.t yang wajib ditaati tidak berubah. Banyak perkara yang diharamkan dalam syariat Nabi Musa a.s dihalalkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. Syariat nabi-nabi yang terdahulu tidak menghadkan bilangan isteri-isteri tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w menghadkannya setakat empat orang sahaja dalam satu masa. Jadi, intisari pahala dan dosa bukanlah sesuatu perbuatan itu, tetapi ketaatan atau kederhakaan kepada Allah s.w.t yang menjadi pahala atau dosa. Melakukan gerakan sembahyang jika tidak disertai dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, tidak dinamakan bersembahyang. Setiap perbuatan bergantung kepada niat. Perbuatan dilakukan oleh anggota zahir dan niat dilakukan oleh anggota batin iaitu hati rohani. Kelakuan hati itulah yang menentukan pahala atau dosa.
Semua jenis ibadat hanya diperakui sebagai ibadat jika hati memperakukan ibadat itu kerana Allah s.w.t. Hati yang menentukan nilai perbuatan, bukan perbuatan yang menjadi penentu nilai. Oleh sebab itu perbuatan yang bersalahan dengan hukum tidak menjadi besar jika dibandingkan dengan kelakuan hati yang menafikan kesempurnaan Allah s.w.t dan mengadakan sangkaan buruk terhadap-Nya. Perbuatan dosa yang dilakukan oleh anggota zahir hanya mengotorkan manusia itu sendiri sahaja, tetapi sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t mencabar kesempurnaan ketuhanan Allah s.w.t, dan ini jauh lebih besar dosanya. Sebab itu dosa yang paling besar dan tidak diampuni-Nya adalah syirik, iaitu meruntuhkan keesaan ketuhanan Allah s.w.t.
Manusia yang terkurung di dalam penjara dunia, hatinya dibayangi oleh cahaya api syaitan. Syaitan membawa kepadanya khayalan-khayalan yang membentuk sangkaan. Apabila seseorang itu didatangi oleh keinsafan dan mahu bertaubat dari dosa-dosanya, syaitan akan mengulang-tayang akan perbuatan dosanya dengan gambaran yang sangat hina dan menjijikkan sehingga orang itu merasakan dosanya terlalu besar, tidak mungkin mendapat keampunan Allah s.w.t. Dia tenggelam dalam lautan sangkaan bahawa Allah s.w.t tidak akan mengampunkan dosanya. Seterusnya timbul sangkaan bahawa tidak berfaedah lagi dia melakukan kebaikan kerana dosa-dosa yang lalu menghalang kebaikan yang hendak dilakukannya diterima oleh Allah s.w.t. Jadilah dia seorang yang hidup dengan dosa-dosa yang lalu dan tidak ada kebaikan baharu dikerjakan.
Tugu sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t yang dibina oleh syaitan mestilah dirobohkan. Hikmat 57 telah menganjurkan agar tidak meninggalkan zikir walaupun hati lalai dari apa yang dizikirkan. Zikir yang dilakukan secara paksa itu akan meleburkan sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t sedikit demi sedikit, lalu muncullah sangkaan baik. Rohaninya seterusnya meningkat ke darjat yang lebih tinggi, di mana tidak ada lagi sangkaan terhadap Allah s.w.t, tetapi hati mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benar kenal. Dapatlah dia melihat bahawa niat datangnya dari Iradat Allah s.w.t. Tidak ada suatu kehendak kecuali apa yang bergantung kepada Iradat Allah s.w.t. Tidak ada satu perbuatan kecuali apa yang bergantung kepada Kudrat Allah s.w.t. Pada sisi Allah s.w.t tidak ada yang jahat, semuanya baik belaka. Jahat hanya wujud apabila nafsu manusia mengadakan kehendak dan perbuatan dirinya sendiri, lupa dia bersandar kepada Allah s.w.t. Junaid al-Baghdadi berkata: “Barangsiapa tidak mencapai fana dirinya dan baqa dengan Allah s.w.t, maka semua kebaikan yang dibuatnya adalah mengandungi dosa”.
Ahli makrifat melihat kecilnya perbuatan dosa jika dibandingkan dengan pengakuan dirinya ada kuasa menciptakan sesuatu perbuatan. Bagi mereka, selagi mereka melihat diri mereka melakukan amalan, selagi itulah amalan mereka mengandungi dosa. Perhatian kepada diri menghijab perhatian kepada Tuhan. Orang arif mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Mereka melihat diri mereka tidak melakukan kejahatan kerana Allah s.w.t menjaga dan melindungi mereka daripada kejahatan. Mereka melihat diri mereka berbuat kebaikan kerana Allah s.w.t mengurniakan kebaikan itu kepada mereka. Tidak terlihat lagi pada mata hati mereka sesuatu apa pun kecuali yang dari Allah, kepada Allah dan beserta Allah s.w.t.
Tanpa makrifat seseorang akan melihat amal yang dilakukannya dan dia cenderung untuk mengukur dirinya dengan amalan tersebut. Seterusnya dia menjadikan amalan tersebut sebagai persediaan untuk menghadap Allah s.w.t. Boleh dikatakan dia menjadikan amalannya sebagai tuntutan terhadap Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba membawa kepada Allah s.w.t amal perbuatannya, maka Allah s.w.t menerimanya dengan hisab dan perhitungan yang terperinci. Hisab Allah s.w.t sangat halus dan rapi. Tidak ada walau sebesar zarah pun yang terkeluar dari kiraan-Nya. Sebab itu jika kamu dihadapkan kepada keadilan Allah s.w.t, tidak ada dosa yang kecil atau remeh-temeh yang boleh lepas dari kiraan Allah s.w.t. Semuanya besar dan semuanya dikira. Berbeza keadaannya bagi orang yang dihadapi Allah s.w.t dengan kurnia-Nya. Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. ( Ayat 111 : Surah at-Taubah )
Orang yang dibeli oleh Allah s.w.t, menjadi hamba abdi kepada-Nya. Allah s.w.t, sebagai Tuan, menguruskan, memelihara dan menjaga abdi-Nya. Apa juga perbuatan yang dilakukan oleh hamba abdi adalah yang diperintahkan oleh Tuannya. Tuan yang mengeluarkan perintah, Tuan juga yang mempertanggungjawabkannya. Hamba abdi tidak ada pilihan. Lantaran itu apabila Allah s.w.t menghadapi hamba abdi-Nya, maka dihadapi-Nya dengan kurnia-Nya bukan dengan tuntutan. Apabila Allah s.w.t tidak membuat tuntutan, tidak ada dosa dan kesalahan yang besar. Jadi, buatlah keputusan apakah mahu menjadi orang yang mengumpul amal dan membuat tuntutan kepada Allah s.w.t dengan amal itu, atau menjualkan diri kepada Allah s.w.t, menjadi abdi-Nya dan berserah sepenuhnya kepada-Nya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar