Minggu, 21 Agustus 2016

(Post.14)TERJEMAH SYARAH AL HIKAM

102: ALLAH S.W.T DITAATI KARENA SIFAT-SIFAT KETUHANAN-NYA

BARANGSIAPA BERIBADAT KEPADA ALLAH S.W.T KERANA MENGHARAPKAN SESUATU ATAU SUPAYA KETAATANNYA DAPAT MENOLAK KEDATANGAN SEKSAAN DARI ALLAH S.W.T, MAKA ORANG ITU TIDAK MENDIRIKAN KEWAJIPAN TERHADAP HAK SIFAT-SIFAT-NYA. Ketaatan hamba kepada Allah s.w.t dibina di atas tiga dasar: 1: “Wahai Tuhan kami. Kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan selamatkan kami dari azab api neraka”. 2: “Ilahi! Engkau jualah maksud dan tujuan kami. Keredaan Engkau jua yang kami cari. 3: “Ilahi! Engkau jua maksud dan tujuan, tiada lain yang kami cari”. Orang Islam umumnya membina ketaatan mereka di atas dasar yang pertama. Orang yang masih pada peringkat mencari membinanya di atas dasar yang ke dua. Orang yang telah bertemu dengan yang dicari membinanya di atas dasar yang ke tiga. Hikmat di atas mengajak golongan pertama supaya memperbaiki diri mereka dengan cara membina ketaatan seperti golongan ke dua dan seterusnya mencapai peringkat golongan ke tiga. Orang awam beribadat kepada Allah s.w.t kerana mengharapkan kurniaan dari-Nya yang berupa nikmat kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat. Mereka membuat andaian bahawa jika mereka berbuat taat tentu Tuhan akan melayannya dengan lemah-lembut, memberikan kepada mereka kebaikan dan menghindarkan dari mereka bala bencana ketika mereka hidup di dunia serta menyelamatkan mereka dari api neraka di akhirat, seterusnya menempatkan mereka di dalam syurga yang abadi. Ketaatan golongan ini bermotifkan kepentingan peribadi. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya tidak ada neraka tentu mereka tidak sujud kepada Allah s.w.t. Jangan kamu berperangai seperti hamba yang jahat, jika takut, dia bekerja. Jangan kamu menjadi seperti pekerja yang jahat, jika tidak diberi upah, dia enggan membuat kerja. Golongan kedua pula pergi kepada Islam yang lebih mendalam, dengan berbuat aslim (menyerah diri) kepada Allah s.w.t. Dalam pembentukan sifat aslim ini mereka melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya. Inilah golongan ahli tarekat . Amal ibadat dilakukan untuk membersihkan hati nurani agar dia dapat mendekati Allah s.w.t. Rasa kasihkan Allah s.w.t telah tumbuh dalam hati mereka. Pemahaman tentang Tuhan juga telah bertambah. Mereka sudah dapat melihat bahawa penyembahan dan ketaatan adalah kewajipan hamba kepada hak ketuhanan Allah s.w.t. Pemberian atau penolakan tidak sedikit pun mengecilkan hak tersebut. Allah s.w.t disembah kerana Dia adalah Tuhan. Dia ditaati kerana Dia adalah Tuhan. Dia bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan yang mewajibkan Dia disembah dan ditaati. Tidak perlu lagi kepada sebarang alasan lain. Hamba Allah s.w.t tidak ada pilihan melainkan bergantung kepada-Nya, Allah s.w.t, yang bersifat dengan sifat-sifat iftiqar, yang mewajibkan yang lain bergantung kepadanya. Dia memiliki semua kekuasaan dan kekayaan. Dia yang memberi atau menolak. Segala-galanya adalah milik-Nya dan Dia boleh berbuat apa sahaja terhadap apa yang menjadi milik-Nya. Hamba yang menyedari hakikat ini sangatlah berhajat kepada keredaan Allah s.w.t, iaitu Allah s.w.t menerimanya sebagai hamba yang benar-benar melakukan kewajipan terhadap hak ketuhanan-Nya. Jika Allah s.w.t reda kepadanya Dia tidak akan mengadakan tuntutan kepadanya lantaran kelemahan dan kejahilannya dalam melaksanakan kewajipan terhadap hak ketuhanan tersebut. Orang awam beramal kerana mengharapkan nikmat dari Allah s.w.t. Ahli tarekat beramal kerana mengharapkan keredaan Allah s.w.t. Bila hati sudah menjadi suci bersih dan jika diizinkan Allah s.w.t, pintu hakikat dibukakan kepadanya. Bila dia berhadapan dengan hakikat, dia tidak melihat amal sebagai kebaikan yang keluar dari dirinya, tetapi dia melihat amal itu adalah anugerah Allah s.w.t kepadanya. Jika Allah s.w.t yang mengurniakan amal, mengapa pula ada tuntutan terhadap amal itu. Pengalaman hakikat yang lebih mendalam membawa seseorang kepada suasana fana. Dalam fana amal dan kurnia tidak terlihat lagi. Keredaan Allah s.w.t juga tidak kelihatan. Mata hati hanya tertuju kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t meliputi segala sesuatu. Dia meliputi keredaan-Nya, kurnia-Nya dan perbuatan-Nya. Walau ke mana pandangan dihalakan di sana kelihatan Allah s.w.t, tidak ada yang selain-Nya. Allah s.w.t berfirman: Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah ) Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid ) Ahli hakikat tidak melihat kepada dirinya, amalnya, kurniaan Allah s.w.t dan keredaan-Nya. Mereka melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menjalankan takdir-takdir, termasuklah dirinya, amalnya, kurniaan-Nya dan keredaan-Nya.
_______________________
103 & 104: PEMBERIAN DAN PENOLAKAN MEMPERKENALKAN ALLAH S.W.T

APABILA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEMURAHAN-NYA. APABILA DITAHAN PEMBERIAN BERMAKNA DIPERLIHATKAN KEPADA KAMU KEKUASAAN-NYA. MAKA DIA PADA SEGALA PERKARA MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU DAN MENGHADAPKAN KEPADA WUJUD (KELEMBUTAN)-NYA.

SESUNGGUHNYA TERASA PEDIH PENOLAKAN ALLAH S.W.T ADALAH KERANA KAMU TIDAK MENGERTI TENTANG ALLAH S.W.T DALAM PENOLAKAN TERSEBUT.

Setiap kejadian Allah s.w.t ada pasangan atau lawannya. Kanan berpasangan dengan kiri. Putih berpasangan dengan hitam. Gagah berpasangan dengan lemah. Senang berpasangan dengan susah. Pemberian berpasangan dengan penolakan. Semuanya ada penjodohan. Tetapi, Allah s.w.t tidak ada penjodohan. Dia hanya Satu, Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya.

Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya berpasang-pasangan. Pada makhluk-Nya yang berpasangan dan berlawanan itu ada kenyataan tentang kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya yang tidak ada tandingan. Dia esa dalam segala segi. Esa pada sifat-Nya dan esa pada Zat-Nya. Esa pada nama-Nya dan perbuatan-Nya. Dia memperkenalkan keesaan Zat-Nya melalui sifat-Nya dan memperkenalkan sifat-Nya melalui perbuatan-Nya. Alam semesta dengan segala isinya dan kejadian yang berlaku di dalamnya adalah manifestasi perbuatan-Nya. Tuhan adalah Maha Baik, sebab itu perbuatan-Nya juga adalah baik. Tidak ada perbuatan-Nya yang tidak baik. Tidak ada kejahatan pada sisi Allah s.w.t. Tidak ada kejahatan yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t. Adanya yang tidak baik dan kejahatan hanyalah apabila ada perkaitan sesuatu perkara dengan manusia.

Baik dan buruk adalah dua nilai yang diletakkan pada manusia. Segala perkara datang kepada manusia melalui salah satu daripada dua pintu iaitu pintu positif dan pintu negatif. Perkara yang dinilaikan sebagai baik datangnya dari pintu positif dan yang dinilaikan sebagai tidak baik datangnya dari pintu negatif. Jika seseorang mengambil sikap menerima sahaja apa yang datang maka dia akan melihat unsur-unsur positif dan negatif yang berlawanan. Andainya dia menjenguk ke dalam kedua-dua pintu tersebut nescaya dia akan melihat bahawa pintu-pintu itu terbuka kepada satu ruang yang sama. Sebelum keluar melalui pintu-pintu yang berasingan semuanya berkumpul dalam ruang yang sama secara harmoni, tiada perlawanan.

Jika kita renungi dengan mendalam kita akan dapati bahawa perlawanan dan pertentangan diwujudkan oleh hati kita. Hati yang membuat tafsiran dan penilaian. Hati yang mengalami kemanisan dan kepahitan. Hatilah tempat jatuh tilikan Tuhan dan tempat dituangkan ilham. Hatilah yang mampu mengenal Tuhan. Hatilah yang berhubungan dengan Tuhan. Pintu-pintu positif dan negatif adalah jambatan yang menghubungkan hati dengan Tuhan. Melalui kedua-dua pintu tersebut hati mengenali-Nya.

Sesuatu kualiti dikenali kerana ada kualiti lain yang bertentangan dengannya. Manis dikenali kerana ada tawar, begitu juga sebaliknya. Cantik dikenali kerana ada hodoh, begitu juga sebaliknya. Pemberian dikenali kerana ada penolakan, begitu juga sebaliknya. Dua perkara yang bertentangan masing-masing memperkenalkan yang berlawanan dengannya. Kedua-duanya pula memperkenalkan faktor yang mengwujudkan dua perkara tersebut. Pemberian dan penolakan memperkenalkan yang menguasai kedua-duanya. Hamba yang mengenali pemberian Allah s.w.t akan mengenali penolakan-Nya. Hamba yang mengenali penolakan-Nya akan mengenali pemberian-Nya. Kepedihan pada penolakan membuat si hamba tahu bersyukur pada pemberian-Nya, mengenal kebaikan dan kemurahan-Nya. Kesenangan pada pemberian-Nya membuat si hamba mengenali kekuasaan-Nya pada penolakan-Nya. Pengenalan kepada kedua-duanya membuat si hamba mengenal Tuhan yang menguasai kedua-duanya itu. Si hamba tidak menjadi keliru  tatkala menerima pemberian atau penolakan dari Tuhan yang satu. Walau dari pintu mana pun sesuatu itu datang kepadanya, dia tetap menerimanya dari Tuhannya, dan yang datang itu menceritakan sesuatu tentang Tuhan. Pertukaran di antara pemberian dan penolakan melahirkan rasa kemesraan hubungannya dengan Tuhan kerana dia melihat sifat-Nya yang Lemah-lembut dalam menguruskan hamba-Nya. Bila hamba-Nya lalai dengan pemberian-Nya disedarkan-Nya dengan penolakan-Nya. Bila hamba-Nya hampir binasa kerana penolakan-Nya diselamatkan-Nya dengan pemberian-Nya. Dia sangat tahu menguruskan hal-ehwal hamba-Nya.

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedangkan Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya! (Ayat 14 : Surah al-Mulk )

Dia Maha Halus (terperinci), tidak ada sesuatu yang tersembunyi daripada-Nya. Dia Maha Mengerti, Maha Tahu apa yang patut bagi hamba-Nya. Jika Dia memberi, itu adalah untuk memperkenalkan Diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat kebaikan dan kemurahan. Jika Dia tidak memberi, itu adalah untuk memperkenalkan diri-Nya yang bersifat dengan semua sifat keagungan dan keperkasaan..

Pemberian membuat hamba mengenali kemurahan dan kebaikan-Nya. Penolakan membuat hamba mengenali kekerasan dan keperkasaan-Nya. Bila Dia dikenali secara positif dan negatif baharulah wujud pengenalan yang sejati. Perkara yang positif tidak lagi menutup yang negatif dan begitu juga sebaliknya. Jadi, bila hikmat penolakan-Nya difahami maka penolakan itu tidak akan membuat hati berasa gundah gulana sebaliknya akan wujudlah perasaan bahawa Allah s.w.t melihatnya, menguruskan kehidupannya, memberi nasihat dan tunjuk ajar agar dia selamat dalam perjalanannya.
_____________________
105 & 106: JALAN KEPADA ALLAH S.W.T

KADANGKALA DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU TAAT TETAPI TIDAK DIBUKAKAN PINTU MAKBUL PERMINTAAN. KADANGKALA KAMU TERDORONG KE DALAM DOSA TETAPI DOSA ITU MENJADI SEBAB MENYAMPAIKAN KAMU (KEPADA ALLAH S.W.T).

MAKSIAT YANG MELAHIRKAN RASA HINA DIRI (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN RASA BERHAJAT KEPADA-NYA LEBIH BAIK DARIPADA TAAT YANG MELAHIRKAN RASA MEGAH DAN TAKBUR.

Allah s.w.t menyediakan beberapa jalan bagi hamba-Nya mendekatkan diri kepada-Nya. Ada jalan positif dan ada jalan negatif. Jalan positif adalah jalan taat dan jalan negatif adalah jalan maksiat. Kedua-dua jalan tersebut berbeza pada permulaannya tetapi mempunyai persamaan pada akhirannya. Walau jalan mana yang dilalui ia tidak sunyi dari ujian. Orang yang melalui jalan taat berkemungkinan diuji dengan permintaannya tidak dimakbulkan. Ujian yang seperti ini baik bagi mendidik rohaninya. Biasanya orang yang mengambil jalan taat cenderung untuk melihat kepada amal ketaatannya. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak sangat menyenangkan hatinya. Dia mudah merasakan ketaatannya itulah yang menyampaikannya kepada Tuhan. Dia melihat perubahan yang berlaku pada dirinya dari malas beribadat kepada rajin beribadat, sifat-sifat yang tidak baik tertanggal darinya, lalu dia mengaitkan kebaikan yang berlaku pada dirinya dengan amal ibadat yang dikerjakannya. Dia meletakkan pencapaiannya pada amalannya. Dia juga mudah merasakan bahawa dirinya sudah suci bersih, sudah hampir dengan Allah s.w.t dan tentu sahaja Allah s.w.t memperkenankan segala permintaannya.

Tanpa dia menyedari perasaan yang demikian menghalang kemajuan rohaninya. Perasaan tersebut memperkuatkan kesedaran diri sendiri kerana dia dikuasai oleh kepentingan diri sendiri. Sifat ini tidak sesuai bagi mendekati Allah s.w.t kerana orang yang hampir dengan Allah s.w.t lebih senang dengan pilihan Allah s.w.t dari kehendak diri sendiri. Bertambah hampir dengan Allah s.w.t bertambahlah dia karam dalam kerelaan terhadap takdir Ilahi, sehingga dia tidak mempunyai kepentingan diri sendiri lagi, semuanya diserahkan kepada Allah s.w.t.

Orang yang masih mempunyai hajat dan permintaan adalah orang yang belum bulat penyerahannya kepada Allah s.w.t. Dia masih dihijab oleh kepentingan duniawi atau ukhrawi. Jika Allah s.w.t berkehendak menyampaikan hamba ini kepada-Nya, maka Dia akan menghancurkan kepentingan dirinya sehingga dia tidak berhajat kepada apa-apa lagi kecuali sampai kepada Allah s.w.t. Dalam proses menghancurkan kepentingan diri itu permintaannya tidak dimakbulkan. Apabila permintaannya tidak dimakbulkan sedangkan amal ketaatannya sangat banyak, dia akan mengalihkan pandangannya dari ketaatannya kepada Allah s.w.t yang memegang hak memberi dan menolak. Dia tidak lagi melihat amal ketaatannya menjadi sebab untuknya sampai kepada Allah s.w.t. Dia akan melepaskan pergantungan kepada amal ketaatan lalu dia menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. Penyerahan membawanya reda dengan apa yang Allah s.w.t takdirkan untuknya. Apabila dia reda dengan Allah s.w.t dan Allah s.w.t reda dengannya maka dia dibawa hampir kepada-Nya. Masuklah dia ke Hadrat Allah s.w.t tanpa sebarang kepentingan diri sendiri.

Jalan satu lagi adalah jalan orang yang melakukan kesalahan, dosa dan maksiat. Kebanyakan orang yang sampai kepada Allah s.w.t, melalui jalan ini. Syaratnya mereka tidak berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Manusia pertama diciptakan Allah s.w.t, iaitu Adam a.s telah melakukan kesalahan kerana tidak berpegang kepada amanat yang Allah s.w.t pertaruhkan kepadanya. Firman Allah s.w.t:

Kemudian mereka berdua (Adam dan Hawa) memakan (buah) dari (pohon) itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufik untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk. ( Ayat 121 – 122 : Surah Taha )

Adam a.s telah melakukan kesalahan tetapi beliau a.s mengakui kesalahan tersebut dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t menerima taubat beliau a.s dan menjadikan beliau a.s sebagai hamba pilihan dan membimbingnya. Apa yang berlaku kepada Adam a.s seharusnya menjadi teladan kepada umat manusia sekaliannya. Adam a.s tidak berdolak-dalik, tidak mengada-adakan alasan. Beliau a.s mengakui dengan jujur akan kesilapannya dan memohon keampunan dari Allah s.w.t serta berserah diri kepada-Nya. Kesilapan Adam a.s diabadikan di dalam kitab-kitab suci, dibaca oleh semua umat manusia pada semua zaman. Adam a.s tidak terkilan kerana Allah s.w.t mendedahkan kesalahannya kepada sekalian makhluk. Beliau a.s tidak meminta Allah s.w.t menyembunyikan kesalahan yang telah dibuatnya itu. Beliau a.s reda dengan apa juga keputusan Allah s.w.t. Apabila seseorang reda dengan keputusan Allah s.w.t, tidak ada siapa lagi yang ditakutinya kecuali Allah s.w.t.

Sikap yang ditunjukkan oleh manusia umum berbeza daripada sikap yang telah ditunjukkan oleh bapa mereka, Adam a.s. Biasanya ejekan, sindiran dan kata-kata orang ramai mempengaruhi jiwa seseorang yang pernah berbuat salah. Dia akan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan kesalahannya. Jika kesalahannya diketahui oleh orang lain dia akan berasa terhina. Manusia umum malu kepada sesama manusia tetapi tidak malu kepada Allah s.w.t yang sentiasa melihat perbuatannya. Berbeza dengan Adam a.s, malunya kepada Allah s.w.t membuatnya lupa kepada yang lain dan rela dengan apa juga yang Allah s.w.t kenakan kepadanya sebagai hukuman. Beliau a.s diberikan hukuman yang sangat berat, iaitu dikeluarkan dari syurga, tempat yang senang lenang, kepada dunia yang penuh dengan kepayahan. Beliau a.s menerima kehidupan yang sukar ini dan menghabiskan hayatnya di atas muka bumi dengan berbuat taat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memuji sikap tersebut:

Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah  lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah  keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. ( Ayat 135 – 136 : Surah a-li ‘Imran )

Kesalahan, maksiat dan dosa sering melahirkan manusia yang insaf, bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t. Mereka menghambakan diri sepenuhnya kepada-Nya. Allah s.w.t senang dengan mereka lalu Dia membawa mereka  hampir dengan-Nya. Keadaan mereka jauh lebih baik daripada orang yang pada zahirnya kuat berbuat taat tetapi batinnya diselimuti oleh ujub dan takbur, melihat diri sudah sempurna dan berbangga dengan banyaknya amal yang dikerjakan dan ilmu yang dimiliki. Orang yang ujub dan takbur dijauhkan dari Allah s.w.t, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka didekatkan.
______________     __________
107 & 108: NIKMAT PENCIPTAAN DAN NIKMAT SUSULAN

DUA NIKMAT YANG TIDAK TERPISAH MAKHLUK DARI KEDUA-DUANYA DAN TIDAK DAPAT TIDAK BAGI SETIAP MAKHLUK MAUJUD DARI KEDUA-DUANYA, ITULAH NIKMAT DICIPTAKAN DAN NIKMAT YANG MENYUSUL (SETELAH DICIPTAKAN).

ALLAH S.W.T MEMBERI NIKMAT KEPADA KAMU KALI PERTAMANYA DENGAN MENCIPTAKAN KAMU DAN KALI KE DUANYA DENGAN MELENGKAPI KEPERLUAN KAMU.

Semua makhluk asalnya tidak ada. ‘Adam (yang tidak ada) adalah zat makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak menciptakan makhluk maka disinari-Nya ‘adam dengan cahaya nur Wujud-Nya lalu ‘adam menjadi maujud. Makhluk dalam aspek zatnya yang asli adalah ‘adam (tidak wujud) dan dalam aspek kewujudan adalah ciptaan Allah s.w.t yang bergantung kepada Wujud Allah s.w.t. Nikmat pertama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada ‘adam (zat makhluk) adalah nikmat penciptaan iaitu ‘adam diterangi dengan cahaya nur Wujud Allah s.w.t, lalu terciptalah makhluk. Bagi ‘adam apabila Allah s.w.t kurniakan kepadanya kewujudan itu merupakan nikmat yang sangat besar, tidak ada yang selain Allah s.w.t dapat berbuat demikian.

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari sifat-sifat kekurangan), -  Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 1 – 3 : Surah al-A’laa )

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 45 : Surah an-Nur )

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu  dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya; roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur. ( Ayat 7 – 9 : Surah as-Sajdah )

Setelah memberinya nikmat kewujudan Allah s.w.t mengurniakan pula nikmat ke dua, iaitu keberlangsungan kewujudan itu. Pada nikmat pertama ‘adam memperolehi taraf al-khalaq (makhluk atau ciptaan) dan pada nikmat ke dua makhluk mendapat taraf abd (hamba yang mempunyai Tuan yang menguruskan kehidupannya). Makhluk memperolehi kewujudan dan abdi meneruskan kewujudan serta ada Qadar untuknya. Setiap abdi Allah s.w.t disediakan ketentuan untuknya dan tidak ada abdi yang lain dapat menghalangnya dari menikmati apa yang telah Allah s.w.t peruntukkan kepadanya. Telah diperuntukkan sejumlah nafas yang akan dihirupnya, rezeki yang akan dinikmatinya, umur yang akan dijalaninya dan berbagai-bagai lagi yang tidak mungkin disenaraikan. Tidak ada kewujudan abdi yang boleh berkata Tuhan menciptakannya kemudian membiarkannya begitu sahaja. Abdi yang pada mulanya tidak ada, sebaik sahaja dia menjadi ada, didapatinya segala keperluan kewujudan dan kesinambungan kewujudannya telah pun disediakan oleh Allah s.w.t. Begitulah besarnya nikmat susulan yang mengiringi nikmat penciptaan yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Setiap hamba-Nya menerima layanan yang adil dari-Nya tanpa mengira apakah mereka ahli taat atau ahli maksiat. Nikmat-Nya merata kepada semua penciptaan-Nya.

Dia (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala  yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 29 : Surah al-Baqarah )

Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi; dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman dan kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid). Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan; dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya; dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui. Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu). Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya), dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”. ( Ayat  60 - 64 : Surah an-Naml )
___________________________
109 & 110: HAMBA BERHAJAT KEPADA TUHAN

BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T ADALAH SIFAT SEBENAR ZAT DIRI KAMU, SEMENTARA SEBAB MUSABAB (YANG MENGENAI KAMU) ADALAH PERINGATAN KEPADA SESUATU YANG TERSEMBUNYI DARIPADA DIRI KAMU TENTANGNYA (SIFAT KEASLIAN KAMU) DAN KEADAAN KAMU YANG BERHAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) ITU TIDAK DAPAT DIANGKAT OLEH SESUATU YANG SIFATNYA MENDATANG.

SEBAIK-BAIK WAKTU KAMU ADALAH DI MANA KAMU MELIHAT DALAMNYA ADA HAJAT (KEPADA ALLAH S.W.T) DAN KAMU KEMBALI KEPADA KEHINAAN KAMU (MEMPERAKUI PERGANTUNGAN KAMU KEPADA ALLAH S.W.T).

Allah s.w.t menyempurnakan nikmat-nikmat penciptaan dan keberlangsungan kewujudan hamba-hamba-Nya. Wujud makhluk bergantung kepada Wujud Allah s.w.t dan kesinambungan kewujudan makhluk bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t. Apa sahaja yang diciptakan oleh Allah s.w.t tidak boleh melepaskan diri dari pergantungan kepada Allah s.w.t. Keadaan berhajat kepada Allah s.w.t ini menjadi sifat asli bagi makhluk. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu meneruskan kewujudan dan kehidupannya tanpa sokongan dari Allah s.w.t.
Dalam menjalani kehidupannya seseorang hamba Allah s.w.t didatangi oleh berbagai-bagai sebab musabab. Secara zahirnya kehidupan hamba Allah s.w.t dipengaruhi oleh hukum sebab musabab. Ada anak sebab ada hubungan ibu dengan bapa. Berlaku kematian disebabkan oleh penyakit. Adanya proses pembesaran sebab ada makanan yang berkhasiat. Sesuatu perkara berlaku sesuai dengan sebab yang menghasilkan akibat. Sistem sebab dan akibat ini sangat rapi sehingga manusia dapat menyusun peraturan sebab musabab yang boleh menghasilkan akibat. Kerapian susunan sistem sebab musabab menambahkan lagi pengaruhnya kepada hati manusia. Apabila perhatian hanya tertumpu kepada sistem sebab musabab mereka pun melupai asal kejadian dan sifat asli mereka. Mereka lupa kepada zat mereka iaitu ‘adam yang menerima nikmat kewujudan dan nikmat kesinambungan kewujudan. Mereka tidak dapat melihat bahawa sebab musabab adalah sebahagian daripada nikmat kurniaan Allah s.w.t yang menyambung kehidupan mereka.

Orang yang telah lupa kepada keaslian diri mereka perlu diberi peringatan. Peringatan yang datang kepada mereka juga dalam bentuk sebab musabab. Mereka dibiarkan mengadakan sebab tetapi akibat yang sesuai dengan sebab tersebut ditahan, sebaliknya akibat yang tidak diduga dilepaskan. Mereka dihadapkan dengan keadaan di mana sebab tidak mampu mempengaruhi akibat. Ikhtiar mereka tidak menghasilkan pulangan yang sepatutnya diperolehi. Ini membuat mereka berasa kecewa dengan sebab-sebab. Kekecewaan tersebut mengalihkan pandangan mereka kepada sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan akibat. Mereka dapat melihat dengan jelas bahawa berpegang kepada hukum sebab musabab tidak melepaskan pergantungan mereka kepada Allah s.w.t. Sebab musabab adalah perkara yang datang kemudian sedangkan susunan tadbir Allah s.w.t datang lebih dahulu, menemaninya sejak mula hinggalah sampai bila-bila.

Tidak ada kekuatan sebab musabab yang dapat mengubah apa yang telah diatur oleh Allah s.w.t. Peraturan Allah s.w.t sahaja yang menyambung penghidupan mereka, bukan sebab musabab yang datang kemudian. Orang yang melihat kepada hakikat ini hanya mengambil sebab musabab sebagaimana layaknya sebagai manusia tetapi mereka tidak meletakkan  keberkesanannya kepada sebab musabab. Kekuasaan Allah s.w.t sahaja yang menentukan keberkesanan sesuatu sebab. Oleh sebab itu sifat asli hamba yang berhajat kepada Allah s.w.t tidak dapat diangkat oleh sebab musabab yang datang kemudian daripadanya.

Seseorang yang kembali kepada keasliannya mengakui akan keadaan dirinya yang lemah dan berhajat kepada Allah s.w.t. Mereka akan mengisi setiap ruang dan waktu kehidupannya dengan memperteguhkan pergantungannya kepada Allah s.w.t. Zahirnya mengadakan sebab musabab tetapi batinnya berserah kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan menentukan akibat. Dia menghayati nikmat kesinambungan kewujudan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia menjalani kehidupan yang penuh dengan sebab musabab tanpa mengalih pandangan daripada as-Samad, Tuhan yang dihajati oleh semua makhluk.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar