Minggu, 21 Agustus 2016

(Post.15)TERJEMAH SARAH ALHIKAM

111: UNS ( JINAK HATI DENGAN ALLAH S.W.T )

APABILA KAMU BERASA HILANG MINAT KAMU KEPADA MAKHLUK, MAKA KETAHUILAH BAHAWA AKAN DIBUKAKAN KEPADA KAMU PINTU BERJINAK-JINAK DENGAN ALLAH S.W.T. Kehidupan ini pada zahirnya dikawal oleh hukum sebab musabab. Hukum sebab musabab berjalan melalui makhluk, maka kelihatanlah tindakan makhluk mencorakkan berbagai-bagai keadaan dan peristiwa. Kehidupan ini adalah umpama sebuah keretapi. Pengalaman yang diharungi oleh seseorang menjadi batang-batang besi sambung menyambung membentuk landasan dan memaksa keretapi bergerak mengikut arah yang terbentuk. Keretapi tersebut bergerak mengheret gerabak-gerabak yang muatannya adalah berbagai-bagai anasir yang berkumpul dalam sistem sebab musabab, terdiri daripada berbagai-bagai jenis makhluk, memakai berbagai-bagai rupa dan nama. Semakin banyak sistem sebab musabab yang dikumpulkan semakin banyak juga makhluk yang mengenderai keretapi. Jika bahan yang dibawa terlalu banyak enjin keretapi tidak terdaya menarik gerabak-gerabak yang penuh dengan muatan itu. Keadaan ini memaksa keretapi berhenti kerana kehabisan tenaga. Tatkala itu semua bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapi perlu dinilai semula. Hasil daripada penilaian semula akan didapati banyak daripada muatannya adalah bahan yang tidak berguna. Sebahagiannya adalah sampah sarap dan sebahagian lagi benda-benda sisa buangan yang kotor dan menjijikkan. Banyak juga sisa toksid yang memudaratkan. Sesiapa yang membuat penilaian semula terhadap bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapinya pasti akan menggelengkan kepalanya, melihat kebodohan dirinya sendiri mengangkut, mengheret dan menjaga benda-benda yang tidak berguna, kotor, menjijikkan dan memudaratkan. Lalu dia membuat keputusan untuk melepaskan gerabak-gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang demikian. Gerabak-gerabak tersebut dicantumkan oleh penyambung-penyambung. Penyambung perlu dibuang untuk melepaskan gerabak berkenaan. Penyambung yang perlu dibuang adalah yang dipanggil kasihkan dunia, panjang angan-angan, menurutkan syahwat, gemar kepada kemasyhuran, hasad dengki, dendam dan lain-lain yang seumpamanya. Dia sudah sedar bahawa penyambung-penyambung tersebutlah yang memaksanya membawa beban yang berat menyebabkan kuasa enjinnya digunakan dengan sia-sia. Bila semua penyambung berkenaan sudah dilepaskan maka terpisahlah semua gerabak yang diisi dengan bahan-bahan yang tidak berguna tadi. Keretapinya pun dapat meneruskan perjalanan dengan selesa. Ketika di dalam suasana asbab, ahli asbab yang menghadapi makhluk yang bertindak dalam sistem sebab musabab akan mengadakan sebab musabab juga untuk melepaskan dirinya dari sebab musabab yang menguasainya. Kadang-kadang sebab musabab yang mendatang mengatasi kekuatan sebab musabab yang diciptanya. Dalam perkara ini, yang mendatang dapat mengalahkannya. Ini menyebabkan jiwanya berasa tertekan. Bila tekanan itu menjadi sangat kuat dan dia tidak berdaya menahannya, dia akan memberontak dengan melawan sistem sebab musabab itu sendiri, termasuklah makhluk yang terlibat dalam arus sebab musabab. Perlawanan yang dilakukannya bukanlah mengadakan sebab musabab yang lebih kuat, tetapi dia menentang dengan cara membebaskan dirinya dari sebab musabab, iaitu dia melepaskan rantai kekuasan makhluk terhadap dirinya. Dia menanggalkan asbab dan digantikannya dengan tajrid. Dalam suasana asbab hati menghadap kepada makhluk dan sibuk melayani kerenah makhluk yang mendatanginya. Bila hati melangkah kepada suasana tajrid ia akan menghadap kepada Tuhan dan tidak mengambil berat tentang kerenah makhluk. Hati hanya mempunyai satu muka. Jika ia menghadap kepada makhluk ia membelakangi Tuhan dan jika ia menghadap kepada Tuhan ia membelakangi makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya, hati hamba itu dipalingkan kepada-Nya. Hati yang menghadap kepada Allah s.w.t akan merasakan jalinan kemesraan dengan-Nya. Hati menyukai apa yang Allah s.w.t sukai. Ia gemar melakukan amal ibadat kerana Allah s.w.t sukakannya. Ia sanggup melakukan amal ibadat dengan banyak semata-mata kerana mahu menggembirakan Allah s.w.t. Tidak ada niat untuk dunia atau akhirat. Segala-galanya kerana Allah s.w.t. Suasana hati yang begini dinamakan uns, iaitu hati berasa jinak dengan Allah s.w.t. Uns adalah sebahagian daripada pengalaman hakikat. Ia memberi tenaga kepada rohani agar kuat menempuh dugaan yang hebat dan gemar melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh. Uns menjadi tenaga yang membawa cinta-kasih yang mendalam terhadap Allah s.w.t. Cinta-kasih menjadi tangga untuk mencapai muraqabah. Muraqabah (bebas hati dari pengaruh makhluk) menjadi tangga untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi, di mana hati nurani disinari oleh Nur Ilahi Yang Maha Suci membuka Cinta Hakiki yang tidak terbatas kepada zat Yang Maha Esa. Tanda seseorang itu dibukakan kepadanya pintu uns yang boleh membawa kepada pintu-pintu lain adalah orang yang berkenaan tidak berminat untuk melayani kerenah makhluk. Dia lebih suka bersendirian dengan khalwatnya. Kegiatannya adalah mengingati Allah s.w.t sepanjang masa, ketika duduk, berdiri dan berbaring. Dalam suasana yang demikian terbukalah kepadanya pintu hikmah untuk menyaksikan kebesaran Allah s.w.t pada sekalian kejadian-Nya. Al-Quran menceritakan hubungan hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan banyak mengingati-Nya sehingga terbuka pintu tafakur untuk mengenali Allah s.w.t: (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami dari azab neraka”. ( Ayat 191 : Surah a-li ‘Imran ) Hati yang sudah berpaling kepada Allah s.w.t dipalingkan daripada tipu daya syaitan. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). ( Ayat 201 : Surah al-A’raaf ) Begitulah, apabila Allah s.w.t mahu menolong hamba-Nya, dijinakkan hati hamba itu agar menghadap kepada-Nya dan dipelihara-Nya hati itu daripada musuh-musuhnya
____________      ____    ______
112: KEIZINAN MEMINTA TANDA AKAN MENDAPAT KURNIA

APABILA DIIZINKAN LIDAH KAMU MEMBUAT PERMINTAAN MAKA KETAHUILAH BAHAWA ENGKAU AKAN MEMPEROLEHI KURNIA-NYA.

Orang yang mengembara pada jalan kerohanian menuju Allah s.w.t melalui empat suasana:
1:  Suasana nafsu ammarah atau sifat-sifat kebinatangan yang tidak menghiraukan batasan hukum dan suka memperturutkan hawa nafsunya. Inilah suasana ahli dunia.
2:  Suasana mengurung hawa nafsu dalam kandang hukum. Perkara haram dijauhkan dan banyak daripada perkara halal ditinggalkan kerana takut terjerumus ke dalam yang haram, juga supaya nafsu kebinatangan tidak kembali segar. Inilah suasana ahli akhirat yang kuat berpegang kepada syariat.
3:  Suasana nafsu kebinatangan sudah dikalahkan dan hati mengalami alam kebatinan atau  hakikat. Pancaran nur iman dan tauhid menerangi hati, membawa hati memperolehi isyarat-isyarat ketuhanan atau ilmu Rabbani. Inilah suasana kewalian.
4:  Suasana kehendak, maksud diri dan kesedaran diri terhapus dan dia masuk ke dalam keredaan dan kurniaan Allah s.w.t. Dia tidak lagi menggunakan apa yang mendatangkan manfaat kepadanya dan tidak menghindarkan apa yang mendatangkan mudarat kepadanya. Dia hanya bergantung dan menyerah kepada Allah s.w.t tanpa berkehendakkan apa-apa. Dia tidak lagi meminta pertukaran makam, tidak berhajat kepada apa-apa dan tidak memilih sesuatu untuk dirinya. Dia menerima takdir Allah s.w.t dengan reda. Inilah suasana badliat atau aulia pilihan Allah s.w.t.

Dalam perjalanan menuju makam takdir dan lakuan Allah s.w.t seseorang itu membuang keseronokan, kehendak dan kepentingan diri sendiri. Tidak ada maksud dan tujuannya kecuali Allah s.w.t. Dirinya sendiri sudah tidak kelihatan pada mata hatinya. Apabila dia sudah sampai ke makam takdir dan lakuan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t mengembalikan dirinya dan keinginannya. Dia kembali kepada kesedaran kemanusiaan yang mempunyai hajat keperluan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memerintahkan kepadanya supaya meminta apa-apa yang telah diperuntukkan kepadanya. Permintaannya itu pasti dimakbulkan Allah s.w.t sebagai ganjaran bagi kesusahan yang telah ditempuhinya, juga sebagai menyatakan kedudukannya di sisi Allah s.w.t dan keredaan Allah s.w.t kepadanya. Orang yang sempurna perjalanan kerohaniannya kemudian kembali semula kepada makam insan adalah hamba yang layak bergelar khalifah Allah. Para khalifah Allah bekerja memakmurkan bumi ini dan membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t. Sesuai dengan makam insan di mana dia didudukkan, maka dia bekerja mengikut cara manusia umum. Apabila dia berhajat sesuatu dia akan meminta kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memakbulkan permintaannya sesuai dengan kedudukannya sebagai khalifah. Cara hidup begini ketara ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, di mana baginda s.a.w sangat gemar berdoa kepada Allah s.w.t dan tidak ada doa baginda s.a.w yang dipersiakan Allah s.w.t. Hati yang telah cenderung untuk berdoa, setelah melepasi makam tiada doa, menunjukkan bahawa Allah s.w.t telah menyediakan kurniaan untuknya. Permintaan tersebut merupakan keizinan untuk dia mengambil apa yang menjadi bahagiannya.

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”. ( Ayat 60 : Surah Mu’min )

Orang yang beriman yakin dengan janji Allah s.w.t untuk memakbulkan segala doa. Mereka tidak jemu berdoa sekalipun ia mengambil masa yang lama untuk memperolehi apa yang didoakan itu. Nabi Zakaria a.s adalah salah seorang yang tidak jemu berdoa kepada Allah s.w.t. Kelambatan masa tidak mengurangkan keyakinan beliau a.s.

a merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu”. ( Ayat 4 : Surah Maryam )

Allah s.w.t menjadikan doa sebagai satu hubungan seni di antara Dia dengan hamba-Nya. Dia suka mendengar hamba-Nya berdoa kepada-Nya, hinggakan di dalam syurga pun Dia masih memberi keizinan untuk hamba-Nya berdoa.

Doa ucapan mereka di dalam syurga itu ialah: “  (Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan)! "Dan ucapan permohonan mereka pada-Nya ialah: “  (Selamat sejahtera)! "Dan akhir doa mereka ialah: “  (segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam)!" ( Ayat 10 : Surah Yunus )

Orang-orang yang hampir dengan Allah s.w.t, para ahli syurga gemar berdoa kepada-Nya kerana doa itu adalah perhubungan kasih sayang di antara Tuhan dengan hamba-Nya. Allah s.w.t ‘memanjakan’ hamba-Nya dengan membuka pintu doa.
________________________
113: ORANG ARIF BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T

ORANG ARIF TIDAK LUPUT DARI RASA BERHAJAT KEPADA ALLAH S.W.T DAN TIDAK BERASA SENANG UNTUK BERSANDAR KEPADA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T.

Orang arif mempunyai hati yang sangat halus dan adab sopan yang sangat tinggi terhadap Allah s.w.t. Dia mengenali kurniaan dan kekuasaan Allah s.w.t pada nikmat penciptaan dan nikmat kesinambungan kewujudan yang diciptakan Allah s.w.t. Dia mengenali bahawa tiada satu detik pun makhluk terlepas dari pergantungan kepada Allah s.w.t. Tidak ada satu makhluk yang tidak diheret oleh ketentuan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya:

Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat ( Ayat 2 : Surah al-Ikhlas )

Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. ( Ayat 4 : Surah al-Faatihah )

Allah s.w.t sahaja yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang menyebabkan sekalian makhluk berhajat kepada-Nya tanpa ada pilihan lain, dan kepada-Nya juga ditujukan semua ibadat. Apabila Dia menciptakan makhluk ditegakkan hukum ubudiyah kepada mereka. Dia berfirman:

Kemudian Ia menujukan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, samada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela”. ( Ayat  11 : Surah Fussilat )

Langit dan bumi diciptakan oleh Allah s.w.t. Mereka dapat mendengar wahyu Allah s.w.t, dapat menjawab dan berbuat taat kepada-Nya. Begitu juga hati para arifbillah. Mereka sentiasa mendengar ucapan Allah s.w.t, membalas ucapan-Nya dan taat kepada-Nya. Allah s.w.t berucap tanpa bahasa dan hati mendengar tanpa telinga dan menjawab tanpa lisan. Begitulah hubungan hati para arifbillah. Mereka tidak lekang dari sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t, memohon petunjuk dari-Nya dan mentaati-Nya sepenuhnya. Tidak ada lagi hajat keperluan mereka kepada makhluk.

Al-Quran menceritakan sifat para hamba yang mengenal Allah s.w.t. Mereka sentiasa menyatakan hajat dan pergantungan kepada-Nya. Mereka memohon pertolongan dan perlindungan-Nya daripada musuh-musuh mereka.

Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”. ( Ayat 23 : Surah Yusuf )

Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu -  dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” ( Ayat 27 : Surah Mu’min )

Allah s.w.t mengajarkan agar manusia mohon berlindung kepada-Nya daripada musuh-musuh mereka terutamanya syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mengheret manusia kepada kesesatan.

Dan katakan: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu dari hasutan syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepada-Mu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.
( Ayat 97 & 98 : Surah al-Mu’minuun )
__________""""'"___________
114: NUR SIFAT ALLAH S.W.T MENERANGI RAHASIA HATI

DITERANGI-NYA YANG ZAHIR DENGAN CAHAYA ATHAR DAN DITERANGI-NYA RAHSIA HATI DENGAN NUR SIFAT-NYA. OLEH SEBAB ITU TERBENAM CAHAYA TERANG YANG ZAHIR TETAPI TIDAK TERBENAM CAHAYA KALBU DAN SIR (HATI DAN RAHSIA HATI). BERKATA ORANG BIJAK PANDAI : “ MATAHARI SIANG TERBENAM PADA WAKTU MALAM TETAPI MATAHARI HATI TIDAK TERBENAM.”

Makhluk ini asalnya ‘adam (tidak ada). ‘Adam menerima kewujudan dari kesan perbuatan Allah s.w.t. Ada perbezaan antara perbuatan dengan kesan perbuatan. Misalnya, melukis adalah perbuatan dan lukisan adalah kesan perbuatan. Kesan kepada perbuatan adalah baharu sementara perbuatan pula menunjukkan sifat si pembuat. Perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat atau diri yang berkenaan. Kesan perbuatan tidak sedikit pun menyamai sifat yang asli. Kewujudan yang lahir dari kesan perbuatan Allah s.w.t tidak sedikit pun menyamai sifat Allah s.w.t. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t, termasuklah perbuatan-Nya adalah:

Tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya.

Kewujudan baharu yang menjadi kesan kepada perbuatan Allah s.w.t dinamakan athar. Alam semesta adalah athar. Tidak ada dari kalangan athar yang boleh dijadikan gambaran, ibarat atau lukisan untuk menceritakan tentang Pencipta athar. Kewujudan athar hanya boleh dijadikan dalil untuk menunjukkan Wujud Maha Pencipta. Jika tidak ada tindakan dari Maha Pencipta tentu tidak ada kewujudan yang menjadi kesan dari tindakan tersebut.

Ahli ilmu merumuskan wujud alam menjadi bukti wujudnya Tuhan. Alam boleh menjadi bahan bukti kerana sifatnya yang boleh dilihat dan ada kenyataan mengenainya Ia menjadi nyata kerana ia diterangi oleh cahaya dan cahaya yang meneranginya adalah bahagian daripada athar juga. Matahari, bulan dan bintang adalah athar yang berkeupayaan memberikan cahaya.  Sifat athar adalah berubah-ubah, tidak menetap. Cahaya yang keluar darinya juga berubah-ubah, dari terang kepada malap dan seterusnya terbenam. Allah s.w.t berfirman:

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia  berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”. Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, ia berkata pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). ( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )

Ibrahim a.s mencari Tuhan dengan matanya bersuluhkan cahaya-cahaya athar. Beliau a.s kecewa kerana semua cahaya itu tidak menetap dan tidak bertahan. Lalu beliau a.s meninggalkan cahaya athar dan menghadapkan hati serta Rahsia hatinya kepada Maha Pencipta. Baharulah beliau a.s mendapat keyakinan yang teguh kerana cahaya yang menerangi hati dan Rahsia hatinya tidak berubah, tidak pudar dan tidak terbenam. Beliau a.s melihat dengan jelas bahawa athar tetap athar, tidak ada satu pun yang boleh disekutukan atau disifatkan kepada Tuhan.

Kekeliruan tentang Tuhan terjadi kerana manusia melihat kesan perbuatan Tuhan sebagai perbuatan, kemudian meletakkan hukum bahawa perbuatan tidak berpisah daripada sifat dan sifat tidak berpisah daripada zat. Oleh sebab itu perbuatan juga zat. Jika zat menjadi Tuhan maka perbuatan juga Tuhan dan apa yang terbit dari perbuatan juga Tuhan. Begitulah kesesatan yang terjadi akibat percubaan melihat Tuhan dengan suluhan cahaya athar dan menggunakan hukum logik matematik.

Seseorang haruslah melihat kepada asalnya iaitu ‘adam (tidak wujud). ‘Adam adalah lawan bagi Wujud. Jika manusia berpaling kepada ‘adam maka dia akan terhijab dari Wujud Allah s.w.t. Pandangannya akan diliputi oleh athar yang juga datang dari ‘adam. Tidak mungkin manusia menemui jalan yang sebenar jika mereka melalui jalan yang berdasarkan asal kejadiannya iaitu ‘adam. Tuhan adalah Wujud, mustahil ‘adam. Wujud-Nya Esa, tidak berbilang sedangkan wujud athar yang dari ‘adam berbilang-bilang. ‘Adam tetap tidak ada walaupun banyak makhluk yang diciptakan daripadanya. Penciptaan yang demikian tidak menambahkan Wujud. Walau sebanyak mana pun makhluk yang diciptakan namun, Allah s.w.t tetap Esa. Usaha untuk menemui keesaan Wujud Allah s.w.t dengan menuruti jalan ‘adam adalah sia-sia. Kewujudan aspek kedua mestilah disingkap jika Allah s.w.t mahu ditemui. Kewujudan yang perlu disingkapkan itu adalah yang berhubung dengan Wujud Allah s.w.t, bukan yang datangnya dari ‘adam. Kewujudan yang berhubung dengan Wujud Allah s.w.t itu adalah rohani. Firman-Nya:

Ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakankan manusia – Adam -dari tanah; Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya”. ( Ayat 71 – 72 : Surah Saad )

Katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku.” ( Ayat 85 : Surah al- Israa’ )

Roh adalah amr (urusan atau perintah) Allah s.w.t, tidak termasuk dalam golongan yang diperintah. Malaikat, jin dan lain-lain termasuk dalam golongan yang diperintah. Roh manusia adalah satu Rahsia Allah s.w.t. Ia dinisbahkan kepada Allah s.w.t, bukan kepada ‘adam. Pada tahap amr (urusan) Tuhan ia dipanggil Sir (Rahsia Allah s.w.t), atau Rahsia hati. Pada tahap berkait dengan jasad ia dinamakan kalbu atau hati. Semua kualiti yang baik adalah berkait dengan toh dan semua kualiti yang jahat berkait dengan ‘adam. Jika alam maya diterangi oleh cahaya athar, hati dan rahsia hati yang dinisbahkan kepada roh urusan Tuhan, diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t. Kualiti hati dan rahsia hati adalah mengenal. Nur sifat Allah s.w.t itulah yang menerangi hati untuk menyaksikan kepada Tuhannya. Hati orang arifbillah yang diterangi oleh nur sifat Allah s.w.t tidak lagi dikelirukan oleh cahaya athar dan benda-benda yang dipamerkan. Mata hati menyaksikan Rububiyah pada segala perkara. Zahirnya sibuk dengan makhluk, hatinya menyaksikan Rububiyah dan Sirnya (rahsia hati) tidak berpisah daripada Allah s.w.t walau sedetik pun.

Sir yang menerima sinaran Nur Sifatullah   membawa sifat-sifat yang menceritakan tentang Sifat Allah s.w.t yang menyinarinya. Manusia pilihan yang diheret oleh Sir tersebut akan memakai sifat-sifat yang menceritakan hubungannya dengan Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w dikenali sebagai Habiballah; Nabi Isa a.s sebagai Roh Allah; Nabi Musa a.s sebagai Kalim Allah; Nabi Ibrahim a.s sebagai Khalil Allah. Manusia yang bukan nabi juga menerima pimpinan Sir yang menerima sinaran Nur Sifatullah dan dengan yang demikian mereka dikenali. Abu Bakar dikenali sebagai as-Siddik dan Hamzah sebagai Singa Allah. Manusia lain pula ada yang dikenali sebagai Abdul Malik, Abdul Wahab, Abdul Karim, Abdul Latif dan lain-lain. Hamba-hamba pilihan itu mendapat gelaran yang dihubungkan dengan Allah s.w.t kerana Sir  mereka disinari oleh Nur Sifatullah, sebagai persediaan buat mereka menanggung amanah Allah s.w.t. Firman-N ya:

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq serta Nabi Ya’aqub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya). Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa memperingati negeri akhirat. Dan sesungguhnya mereka  di sisi Kami adalah orang-orang pilihan yang sebaik-baiknya. Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Ismail dan Nabi Alyasa’, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya. ( Ayat 45 – 48 : Surah Saad )

Allah s.w.t mempersucikan hamba-hamba pilihan-Nya dengan menyinari Sir mereka dengan nur sifat-Nya dan dengan itu mereka menjadi sebaik-baik hamba yang menjalankan perintah Allah s.w.t.
_______________    ,_________
115 & 116: TAKDIR ADALAH UJIAN ALLAH S.W.T

SEHARUSNYA TIDAK MENEKAN (JIWA KAMU) OLEH BALA YANG MENIMPA KAMU KERANA KAMU MENGETAHUI BAHAWA TUHAN MENGUJI KAMU DAN DIA YANG MENIMPAKAN KAMU DENGAN TAKDIR-NYA ADALAH TUHAN YANG BIASA MEMBERIKAN KEPADA KAMU YANG BAIK-BAIK YANG DIPILIH UNTUK KAMU.

SESIAPA YANG MENYANGKA TIADA KEHALUSAN HIKMAT PADA TAKDIR YANG MENIMPANYA, ITU ADALAH KERANA SINGKAT PANDANGAN (MATA HATINYA).

Seseorang itu memiliki dua aspek kewujudan. Pertama ialah yang diciptakan dari ‘adam, dinamakan kewujudan zahir. Ia menjadi sarang, sarung atau bekas yang tidak mempunyai sebarang daya dan upaya, tidak boleh mendengar, melihat, berkata-kata, merasa, bergerak dan lain-lain. Ia boleh dianggap sebagai alat yang hanya menurut si pengguna alat itu. Kewujudan zahir pada hakikatnya tidak wujud. Kewujudan aspek kedua adalah kewujudan rohani yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, tidak kepada ‘adam. Wujud rohani inilah wujud yang sebenar, iaitu yang dibahasakan sebagai diri, hati, nafsu dan ungkapan “AKU”. Gabungan dua jenis kewujudan tersebut dinamakan manusia. Jika manusia itu tidak mempunyai jasad, iaitu jika ia hanya berada dalam aspek rohani sahaja, maka ia adalah malaikat. Jika ia hanya mempunyai jasad sahaja, maka ia adalah mayat.

Wujud yang datang dari ‘adam kembali kepada ‘adam, akan rosak binasa dan hilang terus. Ia bermula dari tiada dan kesudahannya pun tiada juga. Tidak ada apa-apa yang dapat dipertahankan dari kewujudan jenis ini. Ia juga tidak dapat dipertanggungjawabkan kerana apabila ia binasa tanggungjawabnya juga binasa. Fungsi kewujudan yang dari ‘adam ini adalah menjadi alat kepada wujud rohani. Wujud rohani memerintah dan menggunakan wujud ‘adam (benda). ‘Adam  dalam keadaan aslinya sebagai ‘adam tidak memiliki sebarang pengaruh atau kesan. Tetapi, bila ia menerima nikmat penciptaan, diberi suasana kebendaan, memakai berbagai-bagai rupa, maka ia juga diberi keupayaan untuk merangsang, mempengaruh dan menarik. Semua keupayaan tersebut tertuju kepada rohani. Alam benda yang diciptakan dari ‘adam bertindak sebagai besi berani menarik rohani agar menghadap kepadanya. Tindakan dan kesan dari alam benda kepada rohani itu dinamakan ujian. Semua yang diciptakan oleh Allah s.w.t menjadi alat yang menguji rohani. Benda-benda alam, kejadian dan pengalaman merupakan alat-alat yang menyampaikan ujian, tetapi bukanlah ujian itu sendiri. Ujian yang sebenar adalah cetusan yang lahir dalam hati ketika menerima kedatangan benda-benda alam, kejadian dan peristiwa. Misalnya, kematian orang yang dikasihi dialami oleh semua orang tetapi reaksi hati masing-masing tidak sama. Ada orang yang menangis, meraung, menghempaskan badannya ketika menghadapi kematian orang yang dikasihi itu. Ada pula orang yang menerimanya dengan tenang. Kejadian yang dihadapi adalah sama tetapi kesannya pada hati tidak sama. Orang yang menangis  dan meraung merasakan dia menghadapi ujian yang sangat hebat. Orang yang bertenang tidak merasakan sebarang ujian, malah dia menganggap apa yang berlaku sebagai takdir Allah s.w.t. Apa yang mesti berlaku apabila berlaku tidak dianggapnya sebagai ujian. Semuanya adalah takdir. Misal yang lain pula, ada orang yang tidak dapat tidur lena kerana ada orang yang telah menyindirnya. Dirasakannya peristiwa itu sebagai bala yang sangat besar. Orang lain pula menganggap sindiran sebagai gurauan yang remeh-temeh, tidak perlu disimpan di dalam hati. Sebenarnya apa yang berlaku dan apa yang orang lain kata tidak memberi sebarang kesan. Perkara yang memberi kesan adalah apa yang diri sendiri tekankan kepada dirinya. Benda-benda alam, kejadian dan peristiwa tidak mampu menekan jiwa seseorang. Orang itulah yang menekan jiwanya sendiri.

Segala yang dihadapi oleh seseorang itu dinamakan takdir. Takdir tidak menekan jiwa seseorang. Takdir adalah pembahagian yang Allah s.w.t telah tetapkan bagi setiap hamba-Nya. Tuhan yang membahagikan takdir itu adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Takdir yang dipilih untuk hamba-Nya berada dalam sempadan kasihan belas dan kehalusan budi-Nya. Dia tidak berlaku kejam dan zalim kerana kejam dan zalim bukanlah sifat-Nya. Jika kita salah mentafsirkan kehalusan pembahagian takdir-Nya yang penuh dengan hikmat kebijaksanaan, itu adalah kerana kejahilan diri kita sendiri, ditambah lagi dengan lemahnya iman di hati.

Ilmu dan iman adalah pertahanan hati. Jika pertahanan ini lemah mudahlah bagi musuh-musuhnya mengenakan tipu daya yang menyebabkan apa sahaja yang mengenainya akan menjadi bala. Kekayaan akan membuatnya tamak. Kekuasan akan membuatnya hilang pedoman. Ilmu membuatnya ego. Apa juga yang dimilikinya tidak membuatnya berasa tenteram. Jiwanya sentiasa keresahan. Inilah orang yang tidak lepas dari ujian dan bala.

Hikmat yang menyentuh tentang ujian ini dikemukakan selepas disentuh tentang Sir dan Nur sifat Allah s.w.t yang membawa kita mengingati hamba-hamba pilihan iaitu para anbia. Mereka merupakan golongan yang paling banyak menerima ujian. Ujian merupakan perjalanan hidup nabi-nabi. Mereka telah memberi petunjuk bagaimana cara menghadapi ujian. Alat menghadapi ujian adalah berserah diri kepada Allah s.w.t. Di dalamnya ada sabar dan syukur. Ujian bala dihadapi dengan sabar dan ujian nikmat dihadapi dengan syukur.
Hati yang disinari oleh Sir yang menerima sinaran Nur sifat Allah s.w.t berpandangan jauh, mampu menyaksikan hikmah pada setiap perbuatan Allah s.w.t, baik dalam bala mahupun dalam nikmat. Bala dan nikmat tidak menghijab hati untuk melihat keadilan-Nya, kemurahan-Nya, kasih sayang-Nya, kasihan belas-Nya dan kebijaksanaan-Nya.
_________________________
117: HAWA NAFSU DAN KESAMARAN JALAN

TIDAK DIKHUATIRKAN ATAS KAMU SAMARNYA JALAN YANG KAMU TEMPUHI, TETAPI YANG DIKHUATIRKAN ADALAH KEMENANGAN HAWA NAFSU ATAS KAMU.

Orang yang mendapat keinsafan untuk kembali kepada Allah s.w.t selalunya menghadapi kebingungan dalam memilih jalan menuju Allah s.w.t. Kebingungan dan kekeliruan akan bertambah jika seseorang itu cenderung untuk memasuki aliran tarekat   Percanggahan pendapat ulama dalam masyarakat membuatnya tidak dapat memutuskan siapakah yang benar. Satu pihak mendabik dada mengatakan bahawa mereka yang benar, dan pihak lain adalah salah. Mereka adalah ahli sunah sementara pihak lain adalah ahli bidaah. Menurut mereka, ilmu mereka yang Islamik, sementara ilmu pihak lain adalah sesat. Tarekat  merekalah yang sampai kepada Rasulullah s.a.w sementara tarekat  orang lain putus di tengah jalan. Jadi, siapakah yang berada di atas jalan yang benar lagi lurus? Jalan manakah yang mahu diikuti? Keadaan yang demikian membuat orang yang baharu untuk memilih jalan mengalami kebingungan dan kekeliruan.

Bagi mengelakkan kebingungan dan kekeliruan tersebut dan mencari penyelesaiannya, Kalam Hikmat 117 di atas menarik perhatian kepada persoalan pokok. Jangan terlalu khuatir tentang jalan mana yang mahu dipilih dan guru mana mahu diikuti. Apa yang penting adalah berwaspada agar diri kita tidak ditawan oleh nafsu. Sekiranya hawa nafsu menawan kita nescaya kita akan sesat walau jalan mana yang kita lalui dan guru mana kita ikuti. Hawa nafsu menyekat cahaya petunjuk dari masuk ke dalam hati. Bila hati dilengkungi oleh tembuk hawa nafsu tidak ada guru yang boleh memasukkan ilmu ke dalam dada kita dan tidak ada jalan yang dapat menetapkan langkah kita. Dengan ini, seelok-eloknya perhatian mesti diberi kepada latihan mengawal hawa nafsu. Bila hawa nafsu sudah terkawal, insya-Allah jalan kebenaran akan terbuka kepada kita. Sekiranya kita sedang mengikuti jalan yang salah, diheret oleh guru yang sesat, tetapi hawa nafsu tidak menawan kita, kita akan mudah menerima kebenaran bila ia datang. Dan, kita tidak keberatan untuk meninggalkan jalan yang salah dan guru yang sesat itu untuk mengikuti jalan yang lurus dan guru yang benar. Apa yang penting adalah maksud dan tujuan hendaklah betul. Tetapkan yang Allah s.w.t sahaja yang menjadi maksud dan tujuan. Jika belajar ilmu agama janganlah kerana bertujuan mahu menjadi guru yang dikagumi. Jika beramal ibadat jangan pula kekeramatan yang dituntut. Tetapkan haluan menuju Allah s.w.t. Jika kita berpegang dengan prinsip demikian mudahlah kita mencari guru yang benar dan jalan yang lurus. Guru mana pun boleh diikuti asalkan dia mengajar ilmu yang dari al-Quran dan as-Sunah, berpandu kepada perjalanan khalifah ar-rasyidin dan guru itu sendiri beramal mengikut ilmu tersebut. Tarekat  yang mana pun boleh diikuti asalkan ia berada dalam sempadan al-Quran dan as-Sunah, jangan mengadakan bidaah. Pada sepanjang masa bukakan hati untuk menerima taufik dan hidayat dari Allah s.w.t.

Seharusnya tidak terjadi kekeliruan dalam memilih jalan kerana Islam sudah cukup lengkap, nyata dan tidak ada samar-samar. Tarekat  Islam adalah zahir sibuk dengan syariat dan batin memperteguhkan iman. Hati bersandar kepada Allah s.w.t dan  mata hati memerhatikan Rububiyah dalam segala perkara dan pada setiap ketika. Jangan bersandar kepada amal dan ilmu. Perhatikan firman-firman-Nya:

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”. Dan  orang-orang Nasrani berkata: “ Al-Masih  ialah anak Allah”. ( Ayat 30 : Surah at-Taubah )

Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah. ( Ayat 31 : Surah at-Taubah )

Bahkan mereka adalah menyembah  jin syaitan. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? ( Ayat 43 : Surah al-Furqaan )

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )

Allah s.w.t telah menunjukkan jalan yang jelas. Syirik juga telah diperjelaskan. Seharusnya tidak terjadi kebingungan dalam mengatur langkah menuju Allah s.w.t. Jalan yang terang benderang itu akan menjadi samar sekiranya hawa nafsu menguasai hati. Oleh itu peliharalah hati kita agar kita tidak menjadi hamba kepada hawa nafsu yang akan membinasakan kita.
__________"_________"___
118: SIFAT KEWALIAN DITUTUP DARIPADA PANDANGAN UMUM

MAHA SUCI ALLAH YANG MENUTUPI RAHSIA KEISTIMEWAAN (PARA WALI) DENGAN DIPERLIHATKAN SIFAT KEMANUSIAAN BIASA KEPADA ORANG RAMAI DAN TERNYATA KEBESARAN KETUHANAN ALLAH S.W.T DALAM MEMPERLIHATKAN SIFAT KEHAMBAAN (PADA PARA WALI-NYA).

Orang yang jahil dan lemah imannya mudah terlintas sangkaan apabila berhadapan kejadian yang luar biasa yang terzahir daripada seseorang manusia. Nabi Ia a.s dilahirkan secara luar biasa, dan padanya terzahir mukjizat yang luar biasa, menyebabkan segolongan manusia menganggap beliau a.s sebagai anak Tuhan. Uzair yang ditidurkan oleh Allah s.w.t selama seratus tahun dan dijagakan di kalangan generasi yang sudah melupai Kitab Taurat, lalu Uzair membacakan isi Kitab Taurat dengan lancar. Orang ramai pun menganggap Uzair sebagai luar biasa, lalu mengangkatnya sebagai anak Tuhan.

Orang ramai sering mengagungkan manusia yang memiliki kebolehan yang luar biasa. Kadang-kadang cara pengagungan itu sangat keterlaluan sehingga orang yang diagungkan itu didudukkan pada taraf yang melebihi taraf manusia. Selain dianggap sebagai anak Tuhan, ada juga yang dianggap sebagai penjelmaan Tuhan. Timbul juga penabalan sebagai Imam Mahadi yang dijanjikan Tuhan.

Kesan pemujaan sesama manusia banyak terdapat pada lembaran sejarah. Pemujaan yang demikian disifatkan Allah s.w.t sebagai mempertuhankan makhluk. Perkara ini berlaku kerana salah mentafsirkan kejadian luar biasa yang terzahir pada orang berkenaan, walaupun mereka tidak meminta diagungkan.

Perkara luar biasa yang terjadi pada nabi-nabi dinamakan mukjizat dan yang terjadi pada wali-wali dinamakan keramat. Mukjizat menjadi sebahagian daripada bukti atau hujah kepada orang ramai tentang kebenaran kenabian. Fungsi utama mukjizat adalah memperkuatkan keyakinan orang ramai kepada seseorang nabi itu. Sesuai dengan fungsinya mukjizat berlaku secara terbuka dan diketahui umum. Keramat pula merupakan kurniaan khusus kepada para wali. Tujuan utamanya adalah untuk menambahkan keyakinan wali itu sendiri. Ia bukan bertujuan untuk membuktikan kedudukan wali itu kepada orang ramai.

Kekeramatan banyak berlaku pada zaman akhir ini, jarang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat, sedangkan para sahabat baginda s.a.w adalah aulia Allah yang agung. Sebahagian daripada mereka telah pun diistiharkan sebagai ahli syurga ketika mereka masih hidup lagi. Mereka sudah memiliki iman yang sangat teguh, tidak perlu kepada kekeramatan untuk menguatkannya. Jaminan syurga yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w tidak membuat mereka mengurangkan khidmat bakti mereka kepada Allah s.w.t. Umat yang akhir ini tidak memiliki hati sebagaimana  umat pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat zaman akhir ini memerlukan kekeramatan sebagai penawar yang menguatkan hati mereka. Oleh sebab kekeramatan itu lebih berguna untuk diri sendiri, maka ia lebih banyak berlaku secara tersembunyi, hanya sebilangan kecil yang menyaksikannya atau kadang-kadang tidak ada yang melihatnya. Sifat kewalian dizahirkan kepada wali Allah itu sendiri sedangkan kepada orang ramai dizahirkan sifat manusia biasa, hinggakan orang ramai tidak mengetahui kedudukannya yang sebenar. Dengan demikian seseorang wali Allah itu diberi layanan sebagai manusia biasa. Dia perlu hidup dan menguruskan kehidupan seperti orang ramai. Perilakunya yang memakai sifat kemanusiaan biasa menjadi contoh kepada orang ramai, bagaimana mahu menjalani kehidupan di dunia dengan mentaati Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menjalani kehidupan sebagai manusia biasa di mana baginda s.a.w terpaksa mengikat perut dengan kain bagi menahan lapar, padahal dengan hanya berdoa kepada Allah s.w.t baginda s.a.w boleh menjadi kenyang tanpa makan. Para nabi dan para wali adalah manusia yang menjadi model untuk diikuti oleh orang ramai. Jika mereka hidup secara istimewa seperti bergerak secepat kilat dan kenyang tanpa makan, sudah tentu tidak ada manusia yang dapat mengikut mereka. Oleh itu apabila Allah s.w.t memakaikan sifat kehambaan seperti orang ramai kepada para nabi dan para wali-Nya itu adalah bagi kebaikan manusia umum. Orang ramai boleh mengikut contoh yang mudah dan tidak timbul pemujaan sesama manusia yang boleh membawa kepada syirik.
__________________________
119: PERHATIKAN KEWAJIBAN BUKAN PERMINTAAN

JANGAN MENGADAKAN TUNTUTAN TERHADAP TUHAN KAMU LANTARAN KELEWATAN TERCAPAINYA HAJAT KAMU, TETAPI TUNTUTLAH DIRI KAMU AGAR TIDAK MELEWATKAN KEWAJIPAN (TERHADAP ALLAH S.W.T).

Sikap bertauhid hendaklah sentiasa dipupuk supaya syirik dapat dikikis hingga kepada yang paling halus. Salah satu pintu yang mudah dimasuki oleh anasir syirik adalah hajat dan keinginan diri sendiri baik dari segi duniawi, ukhrawi ataupun kedudukan kerohanian. Ahli dunia berhajatkan kesenangan duniawi. Ahli akhirat berhajatkan kesenangan dan keselamatan syurgawi. Ahli kerohanian berhajatkan peningkatan makam. Masing-masing itu masih lagi mempunyai sesuatu hajat yang selain Allah s.w.t. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t mestilah dileburkan  agar tidak ada yang bertempat di dalam hati selain Allah s.w.t. Hati hanyalah untuk Allah s.w.t.

Kalbu (hati) orang Mukmin adalah istana Allah s.w.t. ( Maksud Hadis )

Amat tidak wajar membenarkan sesuatu selain Allah s.w.t mendiami Istana  Allah s.w.t. Jika sesuatu dimasukkan ke dalam istana Allah s.w.t bermakna sesuatu itu didudukkan pada taraf yang menyaingi Allah s.w.t. Ini adalah perbuatan yang sangat tidak beradab kepada Allah s.w.t, menyalahi sifat ubudiyah (kehambaan) yang diwajibkan kepada sekalian makhluk. Setiap hamba Allah s.w.t diwajibkan memperhatikan ketuhanan Allah s.w.t dan menjaga adab hamba kepada Tuhan, iaitu taat kepada perintah-Nya, hukum-Nya dan ketentuan-Nya. Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Mengerti. Dia sangat mengerti menguruskan hamba-Nya lebih daripada hamba itu menguruskan dirinya sendiri. Dia yang menciptakan makhluk dan keperluan makhluk dan Dia juga yang mengadakan pembahagian. Hanya Dia yang benar-benar memahami apa yang perlu bagi setiap makhluk tanpa perlu Dia diperingatkan, apa lagi dikenakan tuntutan. Tidak ada satu makhluk pun yang berhak mempersoalkan apa yang Tuhan buat tetapi setiap makhluk diwajibkan menjawab soalan Tuhan. Hamba yang mengerti tarafnya sebagai hamba akan memelihara kewajipan kehambaan tanpa membuat sebarang tuntutan, sebaliknya mengawasi dirinya agar sentiasa menjaga adab dan peraturan kehambaan yang dikenakan kepadanya.

Keresahan yang timbul dalam jiwa lantaran tidak mendapat apa yang dihajati adalah kerana hati telah menggunakan daya nilai yang tidak benar. Allah s.w.t telah menetapkan satu piawaian. Segala penilaian mestilah ditundukkan kepada piawaian Allah s.w.t. Jika hati memilih piawaian akal dan piawaian nafsu hati itu tidak dapat lari daripada keraguan yang mendatangkan keresahan. Nafsu dan akal mesti ditundukkan agar menyesuaikan diri dengan piawaian Allah s.w.t. Segala hajat dan keinginan mestilah menurut kehendak Allah s.w.t. Segala hujah dan pembuktian mestilah menyokong peraturan Allah s.w.t. Apabila nafsu dan akal sudah tunduk kepada kehendak dan peraturan Allah s.w.t baharulah mata hati berupaya menyaksikan dengan pandangan hikmah.

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. (Ayat 30 : Surah asy-Syura )

Pandangan hikmah memperlihatkan bahawa apa juga kerugian yang menimpa manusia adalah kerana kesalahan yang dilakukannya sendiri. Jika doanya tidak dimakbulkan atau lambat dimakbulkan, ia adalah kerana kesalahan yang telah dilakukannya menghalang doa itu naik ke Hadrat Allah s.w.t. Jika bala menimpanya ia adalah kerana dosa yang telah dilakukannya. Jika hajat atau keinginan yang sukar diperolehi mendatanginya, ia adalah kerana hatinya dibungkus oleh kegelapan nafsu. Jika akalnya gagal merenungi keagungan dan kebesaran Allah s.w.t ia adalah kerana perhatiannya hanya menjurus kepada soal kebendaan dan perkara-perkara zahir.

Perlulah diperhatikan keadaan diri sendiri. Memperbaiki diri adalah lebih baik daripada merungut kerana tidak mendapat apa yang diingini. Bila diri, hati, nafsu dan akal sudah bersesuaian dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t segala perkara akan menjadi mudah.
________________________
120: ZAHIR BERSYARIAT DAN BATIN BERIMAN

APABILA KAMU PADA ZAHIRNYA DIHIASKAN DENGAN TAAT KEPADA PERINTAH-NYA DAN DIKURNIAKAN PADA BATIN KAMU MENYERAH BULAT KEPADA ALLAH S.W.T, YANG DEMIKIAN ADALAH SEBESAR-BESAR NIKMAT BUAT KAMU.

Hamba Allah yang sejati adalah yang menggunakan segala daya dan upayanya untuk mentaati Allah s.w.t, menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa ragu-ragu dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan cara yang paling baik. Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat dinamakan takwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara serta mengatur, dinamakan iman. Gandingan iman dan takwa melahirkan sifat ubudiyah yang sejati. Beriman tanpa bertakwa atau beramal adalah kejahilan. Beramal tanpa beriman adalah munafik. Iman dan takwa merupakan dua belah sayap yang saling bantu membantu agar insan dapat terbang menuju Tuhan. Jika hanya satu sayap sahaja yang ada seseorang itu hanya berpusing-pusing di bumi. Walaupun jauh  jarak yang telah dipusingnya namun, dia tetap berada di bumi, tidak terbang ke alam tinggi.

Seseorang yang menggabungkan iman dan takwa adalah orang yang bersesuaian zahirnya dengan batinnya atau harmoni kedudukan syariat dan hakikatnya. Amalan zahirnya sesuai dengan tuntutan syarak dan batinnya menghadap kepada Allah s.w.t. Orang yang bersesuaian iman dan takwanya, zahir dan batinnya, syariat dan hakikatnya, jasmani dan rohaninya, sebenarnya mendapat sebesar-besar nikmat daripada Allah s.w.t. Dia terlepas daripada sifat munafik. Dia berada pada tarekat  (jalan) yang benar.

Apabila seseorang menganut agama Islam dia dinamakan muslim. Muslim menerima syariat Islam sebagai cara hidupnya. Dia memahami dan mengakui akan kebaikan dan kebenaran peraturan yang ditetapkan oleh syariat Islam. Kemudian dia beriman dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t. Kedudukannya naik daripada muslim kepada Mukmin. Mukmin mempunyai keyakinan yang teguh terhadap Allah s.w.t dan dia tidak ragu-ragu untuk menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Tuhan. Dia yakin Allah s.w.t sahaja yang mengatur kehidupannya. Orang Mukmin mematuhi syariat bukan kerana kebaikan dan kebenaran syariat itu semata-mata, tetapi adalah kerana Allah s.w.t. Dia melihat syariat sebagai peraturan Allah s.w.t dan sebagai hamba dia wajib akur kepada peraturan tersebut. Ketaatan kepada syariat yang didorong oleh iman yang teguh membentuk sifat takwa. Orang yang bertakwa naik dari tahap Mukmin kepada tahap muttaqin. Makam muttaqin adalah makam keteguhan beramal dengan syariat Islam dan ketetapan hati bersandar kepada Allah s.w.t. Keteguhan dan ketetapan hati dalam makam muttaqin menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin iaitu orang yang hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang paling hampir dengan Tuhan adalah orang yang paling bertakwa iaitu orang yang paling teguh kedudukannya pada makam muttaqin. Makam muttaqin bukan sahaja menjadi tangga untuk mencapai makam muqarrabin bahkan ia juga menjadi tapak untuk naik kepada makam ariffin. Sepanjang perjalanan dari makam Muslim kepada makam ariffin, iman dan  amal menjadi kenderaan. Perpindahan dari satu makam kepada makam yang lain memperlihatkan keteguhan dan ketetapan amal dan iman.

Sekiranya Allah s.w.t berkehendak mengurniakan kepada hamba-Nya kedudukan yang baik pada sisi-Nya maka hamba tersebut dikurniakan keteguhan dalam melakukan ketaatan kepada-Nya dan diperkuatkan imannya. Hamba yang memperolehi kurniaan begini menjadi hamba yang gemar beribadat, beramal salih dan kuat pula bertawakal kepada Allah s.w.t. Inilah hamba Allah s.w.t yang berjaya. 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar