73: NIKMAT DAN BALA ADALAH JALAN MENDEKATI ALLAH S.W.T.
SESIAPA YANG ENGGAN MENGHADAP ALLAH S.W.T DENGAN KEHALUSAN KURNIA-NYA AKAN DIHERET (UNTUK MENGHADAP-NYA) DENGAN RANTAI UJIAN BALA. Sekiranya Allah s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya, sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa menghadap Allah s.w.t melalui dua cara. Pertama adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. Ada pula orang yang tidak endah bila dipujuk. Cara kedua sesuai untuknya. Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya. Ujian bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah, fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman: Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. ( Ayat 15 : Surah ar-Ra’d ) Walau jalan mana pun yang ditempuh oleh seseorang hamba itu, Allah s.w.t menantinya dengan keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak berasa rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi. Ujian menjadi batu pengasah untuk menggilap iman seseorang. Ada orang diuji dengan rezeki, ditaburkan rezeki kepadanya atau disempitkan. Keluasan rezeki membentuk kesyukuran dan kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan menimbulkan rasa penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t. Keluasan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Baik, Maha Pemurah. Kesempitan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Keras, Maha Perkasa. Pada kedua-duanya dia mengenali Allah s.w.t yang menghalau takdir demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan. (Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. ( Ayat 37 : Surah ar-Ruum ) Orang yang beriman dengan Allah s.w.t dan takdir-Nya akan mendapat pimpinan-Nya. Allah s.w.t berkuasa membalikkan hati-hati. Dipimpin-Nya hati orang yang beriman agar menghadap kepada-Nya. Orang yang dipimpin-Nya akan berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat hamba mengenali kekuasaan-Nya pada membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat menjadi rajin. Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 11 : Surah at-Taghaabun ) Orang-orang yang beriman akan sentiasa diuji kerana ujian itu membawa berbagai-bagai ganjaran, nikmat dan kurniaan dari Allah s.w.t. Kekuatan amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat seseorang hamba, lalu Allah s.w.t hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hamba-Nya dipersucikan dan diangkat darjatnya. Dalam melakukan yang demikian, Allah s.w.t kenakan ujian kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara yang hampir dengan hamba itu, seperti harta dan keluarga. Sesungguhnya hartabenda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. ( Ayat 15 : Surah at-Taghaabun ) Ujian menjadi pengasing, mengasingkan hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan ujian itu ramai manusia disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan. Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian itu, malah ujian menambahkan kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi lautan ujian membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya. Dan sesungguhnya iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya dengan hasutannya). Dan sememangnya tiadalah bagi iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta mengawasi tiap-tiap suatu. ( Ayat 20 & 21 : Surah Saba’ ) Hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t itulah yang akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat.
____________ ,__________
74: SYUKUR MENGIKAT NIKMAT
BARANGSIAPA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT BERMAKNA MEMBUKA JALAN UNTUK KEHILANGAN NIKMAT ITU. DAN BARANGSIAPA BERSYUKUR MAKA SESUNGGUHNYA DIA MENGADAKAN PENGIKAT BAGI NIKMAT YANG DIPEROLEHINYA.
Biasanya kita takrifkan nikmat sebagai harta benda atau sesuatu yang menyenangkan. Kejadian dan keadaan yang selesa juga dianggap sebagai nikmat. Harta yang banyak adalah nikmat. Tubuh badan yang sihat adalah nikmat. Rupa yang cantik adalah nikmat. Suara yang merdu adalah nikmat. Betulkah semua itu nikmat? Jika harta menjadi nikmat tentu sahaja orang yang mempunyai harta yang banyak akan lebih tenteram jiwanya. Jika kesihatan adalah nikmat tentu orang yang sihat tubuh badannya akan berasa bahagia. Jika wajah yang cantik dan suara yang merdu adalah nikmat tentu mereka yang memilikinya mendapat kepuasan. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang berharta masih juga berasa miskin hingga mereka berasa perlu melakukan rasuah. Orang yang memiliki tubuh badan yang sihat masih tidak senang dengan tubuh badannya. Orang yang memiliki wajah yang cantik dan suara yang merdu masih tidak berasa senang dengan kecantikan wajah dan kemerduan suara yang dimiliki oleh orang lain. Anehnya pula orang yang tidak berharta, tubuh sering dihinggapi penyakit, wajah tidak cantik dan suara tidak merdu, boleh hidup dengan aman, bahagia dan tenteram. Golongan yang memiliki segala-galanya tidak merasakan kenikmatan sedangkan golongan yang tidak memiliki apa-apa pula yang merasakan kenikmatan hidup ini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah nikmat?
Jika kita mahu memahami maksud nikmat, kita perlu memahami perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepada kita. Kita melihat beberapa orang menerima benda yang serupa dan menghadapi keadaan yang serupa tetapi keadaan jiwa mereka tidak serupa. Ada orang yang terus menerus merungut walau sebanyak mana harta yang diterimanya. Ada orang yang terus menerus berkeluh-kesah walaupun keadaan yang menguntungkan mendatanginya. Ada pula orang yang sentiasa tenteram walaupun tidak didatangi harta. Namun, dia tetap tenteram walaupun didatangi keadaan cemas atau kesusahan. Jika kita renungkan dengan mendalam kita dapat merasakan bahawa apa yang mendatangi kita adalah alat, sementara sesuatu yang datang bersama-sama alat itulah yang menimbulkan nikmat ataupun sebaliknya. Alat yang datang mungkin serupa tetapi sesuatu yang ikut serta itu tidak serupa. Mata benda dan kejadian hanyalah kenderaan yang membawa utusan, dan utusan inilah yang mencetuskan kebahagiaan atau keresahan. Utusan inilah yang perlu disingkap untuk mengenali nikmat atau celaka.
Secara umumnya sebab musabab turun mengenai manusia melalui tiga saluran. Saluran pertama dinamakan saluran dosa. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini menjadi hukuman terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan, semuanya memberi tekanan kepada jiwa. Pemilikan harta yang banyak tidak memberi kepuasan kepadanya. Pemilikan isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Tidak ada nikmat yang turun melalui saluran ini. Semuanya membawa tekanan kepada jiwa sebagai balasan kepada dosa-dosa yang telah dilakukan. Jika perkara-perkara yang seharusnya menyenangkan seperti memiliki harta yang banyak dan isteri yang cantik masih memberi tekanan kepada jiwa, apa lagi pada perkara-perkara yang dipanggil bala bencana, tentu sahaja lebih menekan jiwa orang berkenaan. Juru iring atau utusan yang bertindak pada saluran ini adalah syaitan. Syaitan adalah sahabat kepada orang yang berdosa. Syaitan adalah utusan yang buruk, busuk dan keji. Walau apa pun yang turun melalui saluran ini bau busuk syaitan itulah yang diterima oleh hati. Oleh sebab itu hati tidak dapat merasakan kenikmatan, ketenteraman dan kepuasan.
Saluran kedua dinamakan saluran pembersihan. Apa sahaja yang turun melalui saluran ini berperanan untuk menyucikan hati. Utusan-utusan yang turun melalui saluran ini berganti-ganti antara yang baik dengan yang buruk. Utusan yang buruk berfungsi sebagai menghukum hati akibat sisa-sisa dosa yang masih melekat pada dindingnya. Utusan yang baik pula berperanan menyucikan dinding hati yang telah ditinggalkan oleh kekotoran dosa. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini pada peringkat permulaannya bercampur-campur di antara yang menggembirakan dengan yang menekankan. Tekanan dan kelapangan yang berganti-ganti itu melahirkan kesabaran pada hati orang berkenaan. Bila hati sudah bersih sepenuhnya daripada dosa, maka hanya proses pembersihan yang berlaku, tidak ada lagi hukuman. Pada peringkat ini hanya utusan yang baik-baik membawa sebab musabab kepadanya. Utusan yang baik-baik itu adalah para malaikat yang membawa perintah Allah s.w.t. Bila tidak ada lagi gangguan dari utusan yang kotor hati dapat memperteguhkan kesabarannya.
Saluran ke tiga dinamakan saluran peningkatan darjat. Hati yang sudah menerima hukuman dosa dan telah pula menjalani proses penyucian, layak untuk dibawa naik kepada Allah s.w.t. Sebab musabab yang turun melalui saluran ini berperanan membawa hamba hampir dengan Tuhannya. Semua perkara yang datang dibawa oleh utusan yang baik-baik, dipelihara agar tidak diganggu oleh golongan kotor dan ditapis terlebih dahulu supaya yang dibawa itu tidak memudaratkan penerimanya. Oleh itu tidak ada sebarang tekanan dan kekeliruan pada hati yang berada di dalam saluran ini. Hati sudah melepasi peringkat sabar dan masuk ke dalam reda. Walau bala bencana yang besar turun melalui saluran ini namun, hati tidak sedikit pun terusik, keredaan sejati terhadap ketentuan Allah s.w.t menguasainya. Bala bencana itu dirasakan oleh hati sebagai nikmat.
Begitulah tiga saluran turunnya hukum sebab musabab yang menentukan nikmat atau celaka kepada hati yang menerimanya. Ada satu lagi saluran yang khusus bagi orang yang dipilih khusus oleh Allah s.w.t. Orang yang pada peringkat ini sudah selamat dari waham sebab musabab dan tidak lagi melihat kepada sebab musabab. Penglihatan mata hatinya berpindah dari melihat kepada perjalanan sebab musabab kepada memerhatikan perbuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak tunduk kepada hukum sebab musabab di dalam menentukan keputusan-Nya dan Dia tidak memerlukan sebab untuk berbuat sesuatu yang dikehendaki-Nya. Penglihatan orang pada peringkat ini hanya tertumpu kepada Allah s.w.t, baik dalam kenikmatan mahu pun dalam menghadapi malapetaka. Bila Allah s.w.t menjadi terang benderang, nescaya putuslah segala hukum sebab musabab, dan apabila Allah s.w.t dapat dilihat dengan penyaksian hakiki mata hati nescaya putuslah segala nisbah.
Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. ( Ayat 82 : Surah al-Kahfi )
Begitulah ucapan Nabi Khaidir a.s menceritakan kepada Nabi Musa a.s tentang perbuatannya menebuk perahu, membunuh kanak-kanak dan mendirikan pagar tanpa alasan yang terang. Inilah makam yang dinyatakan oleh ayat:
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )
Seorang murid yang masih dalam peringkat pembersihan masih lagi melihat kepada sebab musabab dan perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepadanya adalah melalui saluran yang kedua. Dia masih dalam perjuangan, sabar menghadapi bencana dan sabar dalam kesenangan. Dalam menghadapi bencana dia bersabar agar tidak bergoncang imannya dan dalam menghadapi kesenangan dia bersabar agar tidak terjatuh ke dalam kelalaian. Sabar begini menunjukkan dia bersyukur lantaran Allah s.w.t meletakkannya di dalam saluran yang mempunyai utusan yang baik-baik yang membawa nikmat. Dia melihat bahawa sabar itu sendiri adalah nikmat yang mesti disyukuri. Jika dia tidak bersyukur dengan kesabaran yang dikurniakan kepadanya itu dia akan jatuh ke dalam saluran yang pertama di mana apa jua yang sampai kepadanya menjadi bala yang mencengkam jiwa.
-______________________
75: KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ
TAKUTLAH KAMU TERHADAP KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG SELALU KAMU PEROLEHI SEDANGKAN KAMU MELANGGAR PERINTAH-NYA, JANGAN SAMPAI KURNIAAN ITU SEMATA-MATA ISTIDRAJ. (FIRMAN ALLAH S.W.T DALAM SURAH AL-A’RAF, AYAT 182): KAMI AKAN BINASAKAN MEREKA PERLAHAN-LAHAN DENGAN JALAN YANG MEREKA TIDAK SEDAR.
Orang kafir, musyrik, ahli maksiat, orang zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam kehidupan dunia ini selalu mendapat berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang memiliki sebahagian besar kekayaan dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang menjadikan mereka kuasa besar di dunia. Mereka juga menguasai bidang-bidang sukan, muzik, kesenian dan lain-lain. Kumpulan manusia yang beriman pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam. Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya. Hikmat 75 ini menghuraikan perkara berkaitan kurniaan yang tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan istidraj. Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat. Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah s.w.t mendatangkan bala yang besar kepada mereka. Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah. Kejatuhan yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat. Allah s.w.t berfirman:
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). ( Ayat 44 : Surah al-An’aam )
Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah s.w.t, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat. Waspadalah!
Allah s.w.t sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah s.w.t dengan merendahkan diri. Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah s.w.t. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka.
Dan Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf). Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya. ( Ayat 94 & 95 : Surah al-A’raaf )
Apabila seksaan dan kebinasaan dari Allah s.w.t datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak tahu berbuat apa-apa.
Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat. ( Ayat 40 : Surah al-Anbiyaa’ )
Sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan Allah s.w.t melalui saluran istidraj. Firaun dan Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan di dalam laut dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa ketika asyik dengan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi Nuh dan Luth.
Orang-orang yang beriman sentiasa mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj.
_________________________
76: MURID YANG TERPEDAYA
SEBAHAGIAN DARI KEJAHILAN MURID IALAH : BURUK ADABNYA TETAPI BALASAN KE ATASNYA DIPERLAMBATKAN LALU DIA MENYANGKA SEKIRANYA ADABNYA ADALAH JELIK TENTU ALLAH S.W.T SUDAH MEMUTUSKAN BANTUAN DAN PASTI DIA AKAN DIJAUHKAN. KETAHUILAH! ADAKALANYA KURNIAAN TELAH DIPUTUSKAN TETAPI SI MURID TIDAK MENYEDARINYA. SEKIRANYA TIDAK ADA KURNIAAN BAHARU ITU PUN MERUPAKAN PUTUS BANTUAN. ADA KALANYA DIA SUDAH DIJAUHKAN TETAPI DIA TIDAK MENYEDARINYA, MESKIPUN HANYA DIJAUHKAN DENGAN CARA MEMBIARKANNYA MENURUT SANGKAANNYA.
Hikmat 75 menceritakan tentang istidraj yang dialami oleh orang yang lalai daripada peringatan Allah s.w.t, Hikmat 76 ini pula mengingatkan murid yang berjalan pada jalan kerohanian supaya gejala istidraj itu tidak menimpanya ketika dalam perjalanan. Bagi orang awam tidak bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t boleh menyebabkan tersingkirnya rasa nikmat yang mengiringi kurniaan itu. Bagi orang Mukmin di samping bersyukur adalah penting baginya memelihara adab sopan bersama-sama Allah s.w.t. Mungkin saranan supaya beradab sopan bersama-sama Allah s.w.t bunyinya janggal bagi orang awam, tetapi bagi mereka yang mendekati Allah s.w.t, mereka dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada setiap masa dan di mana sahaja. Apabila seseorang itu meyakini bahawa Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia berada, Allah s.w.t mendengar pertuturannya dan bisikan hatinya maka dia berkewajipan memelihara adab sopan sebagai hamba yang berdiri di hadapan Tuannya. Bertambah hampir seseorang dengan Allah s.w.t bertambah pula tuntutan adab sopan ke atasnya. Perjalanan menuju Allah s.w.t bukanlah perjalanan mencari kemuliaan sama ada kemuliaan duniawi atau ukhrawi. Perjalanan ini adalah tindakan menghinakan diri di hadapan Allah s.w.t, kerana hina, lemah dan jahil adalah sifat makhluk, hanya Allah jua Yang Mulia, Yang Berkuasa dan Yang Mengetahui. Sekalian makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha Kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun.
Adab sopan yang paling utama dijaga adalah yang menyentuh keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan sekalian alam, Maha Bijaksana dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir dan menguruskan penghidupan sekalian makhluk yang dicipta-Nya. Seorang hamba hendaklah yakin kepada kebijaksanaan Tuannya. Terserah kepada Tuannya memilih layanan yang hendak diberikan kepada si hamba itu.
Ibrahim bin Adham telah menceritakan kisah beliau membeli seorang hamba. Berikut adalah percakapannya dengan hamba yang dibelinya itu:
Ibrahim: “ Siapakah nama kamu?”
Hamba : “ Panggil sahaja dengan nama apa yang tuan suka”.
Ibrahim : “ Apa yang kamu ingin makan?”
Hamba : “ Apa sahaja makanan yang tuan beri”.
Ibrahim : “ Apakah pakaian yang kamu perlukan?”
Hamba : “ Apa sahaja pakaian yang tuan mahu berikan”.
Ibrahim : “ Apa pekerjaan yang kamu hendak buat?”
Hamba : “ Apa sahaja pekerjaan yang tuan perintahkan”.
Ibrahim : “ Apakah kehendak kamu?”
Hamba : “Apa kehendak tuan itulah kehendak hamba Seorang hamba tidak berkehendak kecuali apa yang dikehendaki oleh tuannya”.
Ibrahim bin Adham berfikir, sekiranya dia hamba Allah s.w.t tentu dia menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Beginilah adab sopan seorang hamba Allah s.w.t dengan Allah s.w.t. Seorang yang mengaku sebagai hamba Allah s.w.t tidak seharusnya membeberkan hajat keperluannya. Bukankah Allah Maha Mengerti dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang hamba berdiri di hadapan Tuannya tanpa mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang kehendak, cita-cita dan alasan. Reda dengan lakuan Tuannya itulah sifat hamba yang sejati.
Seorang murid yang sedang dalam perjalanan masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir Allah s.w.t, lantaran itu dia cenderung untuk membeberkan hajatnya kepada Allah s.w.t, seolah-olah Allah s.w.t tidak melihat keadaannya. Banyaklah permintaannya kepada Allah s.w.t. Dia mungkin meminta Allah s.w.t melepaskannya dari sesuatu yang tidak disenanginya tanpa berfikir bahawa yang tidak disenanginya itu mungkin mendatangkan kebaikan baginya. Dia mungkin meminta didekatkan kepada Allah s.w.t kerana dia merasakan dia sudah layak didekatkan. Dia mungkin meminta kekeramatan agar orang ramai mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang demikian menunjukkan tiada sopan santun seorang hamba kepada Tuannya, iaitu Allah s.w.t yang sempurna pengertian-Nya dan sempurna pembahagian-Nya.
Walaupun si hamba itu telah tidak bersopan di hadapan Allah s.w.t, mungkin dia tidak dihukumkan dengan serta-merta. Ini membuat si hamba tadi menyangka bahawa tiada salah pada adabnya. Ini menandakan kejahilannya.. Dia tidak sedar bahawa kurang beradab sopan itu sudah merupakan balasan terhadapnya. Lebih buruk lagi dia tidak dikurniakan pengalaman kerohanian yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan penyerahan terhadap Allah s.w.t, putus juga perjalanannya mendekati Allah s.w.t. Tetapi dia masih menyangkakan yang dia terus mendekati Allah s.w.t. Apabila dia dibiarkan menurut sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan tanpa dia menyedarinya. Begitulah hebatnya akibat tidak menjaga adab sopan dengan Allah s.w.t. Jika seorang murid tidak mahu putus kesopanannya dengan Allah s.w.t maka hendaklah dia mendekati Allah s.w.t dengan kesabaran. Pintu kesabaran adalah pintu yang paling hampir untuk masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Senjata yang paling kuat mempertajamkan kesabaran ialah ucapan:
“ Wahai Tuhanku. Engkau berbuat sesuatu sebagaimana Engkau kehendaki”.
Dalam perkara adab sopan bersama-sama Allah s.w.t ini termasuk juga adab sopan terhadap Rasul-rasul-Nya, Malaikat-malaikat-Nya dan Kitab-kitab-Nya. Imam as-Syafi’e dalam menghuraikan Hadis yang bermaksud “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya dipotong tangannya”, dibaca oleh Imam as-Syafi’e, “Sekiranya perempuan yang mulia anak kepada lelaki yang mulia itu mencuri nescaya dipotong tangannya”. Begitulah halusnya sopan santun Imam as-Syafi’e, sehingga beliau enggan menyebut ibarat yang boleh menunjukkan kecacatan terhadap Rasulullah s.a.w dan puteri baginda yang mulia itu. Orang-orang Islam yang beradab sopan tidak memperkaitkan Rasulullah s.a.w dengan Abu Lahab, tidak membesarkan perkara yang tidak elok yang berlaku di Makkah, tidak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk, tidak membacanya di tempat membuang air, tidak membuang najis dengan menghadap ke kiblat dan banyak lagi perkara yang termasuk dalam adab sopan beragama yang menjadi kewajipan bagi orang yang mengaku beragama Islam menjaganya. Jangan memandangnya sebagai perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja mempunyai peraturan atau taman larangan, dan peraturan atau taman larangan Tuhan ialah adab sopan dalam majlis-Nya. Oleh sebab seseorang itu tidak luput dari penglihatan Allah s.w.t walau sejenak pun maka sepanjang masa seseorang itu berada dalam majlis-Nya dan berkewajipan memelihara adab sopan atau peraturan-Nya.
___________________________
77: JANGAN MEREMEHKAN WIRID YANG LAMBAT KEDATANGAN WARID
JIKA ENGKAU MELIHAT SEORANG HAMBA YANG DITETAPKAN ALLAH S.W.T DALAM MENJAGA WIRIDNYA DI SAMPING BERTERUSAN BANTUAN ALLAH S.W.T, MAKA JANGAN ENGKAU MEREMEHKAN PEMBERIAN ALLAH S.W.T KEPADANYA SEKALIPUN BELUM TERLIHAT PADANYA TANDA ORANG ARIF (AHLI MAKRIFAT) DAN SERI CAHAYA ORANG YANG CINTA KEPADA ALLAH S.W.T (MUHIBBIN), KERANA SEKIRANYA TIDAK ADA WARID TIDAK MUNGKIN ADANYA WIRID.
Wirid dan warid yang telah disentuh pada Hikmat 64 disinggung lagi dalam Hikmat 77 ini. Orang yang berpegang teguh dengan wiridnya menempuh salah satu dari dua jalan. Jalan pertama adalah jalan ahli akhirat dan jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Ahli akhirat berpegang teguh pada wiridnya sesuai dengan tuntutan syariat kerana dia mengharapkan balasan syurga dan dijauhkan dari azab neraka. Mereka berpeluang memperolehi kurniaan Allah s.w.t untuk mencapai makam Mukmin. Orang Mukmin adalah orang yang terjamin syurga baginya. Mereka bukan sahaja terjamin mendapat syurga di akhirat, bahkan semasa hidup di dunia lagi mereka mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah s.w.t seperti keberkatan pada usaha dan ketenangan pada jiwa. Orang Mukmin berada dalam makam asbab. Keberkatan yang dikurniakan kepada mereka menyebabkan mereka dapat menjalankan kehidupan mereka mengikut kedudukan asbab tanpa bercanggah dengan syariat. Kejayaan mengharmonikan berbagai-bagai anasir dalam dirinya di bawah payung syariat menyebabkan jiwanya menjadi tenang.
Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Orang yang menjalani jalan ini dinamakan salikin, salik, muridin atau murid. Orang salik mengamalkan wirid bukan kerana berkehendakkan balasan syurga dan bukan kerana mahu mengelakkan seksaan neraka. Tujuannya adalah untuk membersihkan hati dan berharap agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya makrifat. Makrifatullah yang dicari bukan syurga yang dituntut. Apabila memperolehi makrifat dia dipanggil orang arif, iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Seterusnya, kehalusan adab sopannya dan kehalusan kurniaan Allah s.w.t kepadanya menjadikannya orang yang mencintai Allah s.w.t (muhibbin).
Walau jalan mana yang ditempuh, di sana terdapat mereka yang telah berpegang teguh dengan berwirid tetapi tanda-tanda orang yang berjaya sampai ke puncak tidak kelihatan pada mereka. Mereka tidak mendapat kurniaan Allah s.w.t dalam bentuk pengalaman kerohanian yang halus-halus. Tidak ada tanda ahli makrifat dan tidak ada cahaya ahli muhibbin pada mereka. Kemungkinannya mereka dipandang rendah oleh orang lain. Orang ramai menilai pencapaian berdasarkan kepada apa yang nyata, seperti pembuktian dengan kekeramatan, mulut masin atau kefasihan menyampaikan ilmu makrifat. Pandangan yang demikian merupakan satu kekeliruan. Sebenarnya kesanggupan untuk mengekalkan wirid sudah merupakan kurniaan yang besar daripada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t tidak mengurniakan kepadanya keteguhan hati tentu mereka tidak sanggup mengekalkan wirid. Keteguhan hati dalam menjaga wirid adalah warid yang datang dari Allah s.w.t dan tidak semua orang memperolehinya. Oleh yang demikian janganlah meremehkan orang yang teguh menjaga wirid sekalipun tidak kelihatan tanda-tanda kecemerlangan pada mereka.
__________________________
78: KURNIAAN ALLAH S.W.T YANG MENETAP PADA HAMBA-NYA
SEBAHAGIAN PARA HAMBA DITENTUKAN OLEH ALLAH S.W.T UNTUK BERKHIDMAT KEPADA-NYA DAN ADA PULA SEBAHAGIAN YANG DIISTIMEWAKAN ALLAH S.W.T DENGAN MENCINTAI-NYA. KEPADA MASING-MASING ITU DIBERIKAN BANTUAN DARI KURNIAAN TUHAN DAN KURNIAAN TUHAN ITU TIDAK TERBATAS.
Para hamba Allah s.w.t yang sampai kepada penghujung perjalanan mereka dikurniakan Allah s.w.t menetap dengan salah satu dari dua hal, iaitu sama ada berkhidmat kepada Allah s.w.t atau fana dalam mencintai-Nya. Para hamba yang ditentukan untuk berkhidmat kepada Allah s.w.t terdiri dari dua golongan. Golongan pertama adalah ahli akhirat yang mencapai makam Mukmin dan golongan kedua adalah ahli Allah s.w.t yang diserapkan oleh hal abid dan zahid. Para Mukmin adalah tentera Allah s.w.t yang berjuang menegakkan syariat Allah s.w.t dengan bersenjatakan sabar. Mereka tidak berhenti-henti berjihad pada jalan Allah s.w.t, menegakkan syariat-Nya dan memerangi hawa nafsu. Ahli jihad tersebut tidak takut mati kerana mereka melihat kematian dalam jihad adalah mati syahid dan darahnya digantikan dengan syurga yang maha indah. Para Mukmin, ahli jihad yang teguh dalam kesabaran adalah para hamba yang didekatkan.
Para abid dan zahid pula adalah hamba-hamba yang telah melepasi makam sabar dan masuk kepada makam reda lalu menjadi hamba-hamba pilihan dan dimuliakan. Makam abid dan zahid sangat mulia di sisi Allah s.w.t kerana mereka tidak membuat sebarang pekerjaan kecuali beribadat kepada Allah s.w.t, mentaati sekalian perintah-Nya dengan keikhlasan sejati tanpa mengharapkan sebarang balasan. Mereka tidak melihat kepada amal perbuatan mereka tetapi melihat ibadat itu sebagai kurniaan dari Allah s.w.t yang sangat berharga. Semakin banyak amal ibadat yang terdaya mereka lakukan semakin kuatlah kesyukuran mereka. Hati mereka tidak lagi diganggu oleh tarikan dunia dan rangsangan syahwat. Jika para Mukmin biasa diibaratkan sebagai orang yang menanam pokok kerana mengetahui pokok tersebut akan mengeluarkan buah yang lazat rasanya, Mukmin yang abid dan zahid pula diibaratkan sebagai orang yang membaja dan menyiram pokok tersebut supaya ia bertambah subur.
Ada pula, dari kalangan Mukmin, Allah s.w.t tentukan untuk mencintai-Nya. Cinta Allah adalah sesuatu yang sangat sulit untuk dihuraikan. Terlalu sedikit para hamba yang dipilih untuk memilikinya. Golongan yang sedikit itu adalah anbia dan aulia Allah s.w.t yang agung. Jika mahu memahami maksud Cinta Allah, selamilah ucapan mereka yang sedang asyik dalam kecintaan tersebut. Pencinta Allah s.w.t yang paling agung, Nabi Muhammad s.a.w mengucapkan:
“Sekiranya diletakkan matahari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku dengan menyuruh aku menghentikan dakwah yang aku lakukan, nescaya tidak akan aku berhenti, melainkan Allah s.w.t membinasakan daku atau memenangkan daku!”
“Tidak aku hiraukan walaupun sekalian makhluk-Mu memusuhi daku asalkan Engkau tidak murka kepadaku”.
Imbasan Cinta Allah s.w.t hanya dapat dilihat daripada sabda Rasulullah s.a.w dan dari kalangan umat baginda yang dipilih mewarisi Cinta tersebut. Abu Bakar as-Syubli membawa puntung kayu api kerana dia mahu membakar syurga dan kaabah agar Allah s.w.t dicintai dengan sebenar-benarnya, bukan kerana syurga, dan agar manusia benar-benar menghadap Allah s.w.t bukan terhenti pada kaabah. Abu Yazid al-Bustami menasihatkan, “Jika kebajikan yang dikurniakan kepada Adam, kesucian malaikat Jibrail, kemuliaan Ibrahim, rindu dendam Musa dan Cinta Muhammad s.a.w, dikurniakan kepada kamu, janganlah kamu menyukainya kerana itu semua adalah hijab. Carilah Dia dari Dia sahaja, maka yang lain itu semuanya kamu punya”.
Cinta Allah s.w.t adalah pengalaman kerohanian yang sangat seni dan aneh. Para hamba yang dikurniakan pengalaman tersebut telah terlebih dahulu melatihkan diri berpuluh-puluh tahun lamanya. Mereka berjuang tanpa henti-henti menentang hawa nafsu dan cita-cita yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Mereka mencarinya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah s.w.t. Orang yang mencintai Allah s.w.t ghaib dalam melihat Allah s.w.t hinggakan tidak sedar lagi terhadap apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Fana dia dari dirinya dan sekalian alam maujud. Dia tidak dapat membezakan antara sakit dengan senang, emas dengan tanah kering. Orang yang dikuasai oleh Cinta Allah s.w.t tidak berasa apa-apa walaupun kepalanya dipancung. Abu Mansur al-Hallaj tersenyum dan ketawa bila dia disalib. Kemudian kaki dan tangannya dipotong, matanya dicungkil, lidahnya dikerat dan akhirnya kepalanya dipancung. Cinta Allah s.w.t yang menguasainya menghilangkan ketakutan dan kesakitan. Bila kakinya dipotong dia menyaksikan kaki rohnya bebas berjalan menuju Tuhannya. Bila tangannya dipotong dia menyaksikan tangan rohnya bebas mencapai Tuhannya. Bila matanya dicungkil dia menyaksikan mata rohnya lebih terang memandang kepada Tuhannya. Bila lidahnya dikerat dia menyaksikan lidah rohnya semakin petah berkata-kata dengan Tuhannya. Bila kepalanya dipancung dia merdeka sepenuhnya untuk ‘bersanding’ dengan Tuhannya.
Jika diselami benar-benar akan didapati bahawa Cinta Allah s.w.t sebenarnya tidak dimiliki oleh sesiapa pun tetapi Cinta Allah s.w.t itulah yang menawan hati seseorang. Cinta Allah s.w.t itu menguasai bukan dikuasai. Cinta Allah s.w.t menarik seseorang ke dalam kefanaan dari dirinya dan segala-galanya lalu masuk ke dalam tauhid hakiki. Syarat bagi seseorang untuk layak menanggung Cinta Allah s.w.t adalah seandainya semua harta yang ada di dalam perut bumi dikeluarkan dan diberikan kepadanya, dia menolak demi Wajah Allah s.w.t. Hati yang sanggup berbuat demikian layak menerima Cinta Allah s.w.t. Orang yang benar-benar mabuk dalam percintaan tidak ingat akan harta dan dunia.
Golongan pencinta Allah s.w.t adalah tetamu Allah s.w.t yang dimuliakan. Mereka dihidangkan dengan berbagai-bagai hidangan yang tidak pernah dinikmati oleh golongan lain. Merekalah yang merasai buah dari pokok yang ditanam oleh golongan Mukmin dan dijaga oleh golongan abid dan zahid. Daya rasa mereka tidak lagi serupa dengan daya rasa manusia biasa.
Asma binti Abu Bakar as-Siddik tatkala tuanya, mengalami satu peristiwa yang luar biasa. Anaknya, Abdullah, telah dituduh sebagai pemberontak oleh pemerintah pada ketika itu. Abdullah dijatuhkan hukuman bunuh. Mayatnya diheret dari lorong ke lorong selama beberapa hari, dan mayat itu menjadi busuk. Apabila mayat itu diheret di hadapan rumah Asma, yang pada ketika itu sudah tidak boleh melihat, tercium bau yang sangat harum. Asma bertanyakan mayat siapakah yang berbau harum itu. Dia diberitahu yang mayat itu adalah mayat puteranya. Asma mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana menjadikannya ibu kepada seorang pemuda yang salih.
Para pencinta Allah s.w.t adalah aneh. Mereka bukan lagi dalam kesedaran manusia dan bukan juga dalam kesedaran malaikat. Mereka bukan lagi penghuni dunia dan bukan juga penghuni langit. Mereka adalah tetamu Rumah Allah s.w.t yang tidak ada apa di dalamnya kecuali Allah s.w.t.
______'_______'_______'_____
79: WARID TERJADI SECARA TIBA-TIBA
TIDAK TERJADI WARID (KURNIAAN) YANG LANGSUNG DARI ALLAH S.W.T KECUALI SECARA MENDADAK SUPAYA TIDAK DIDAKWA OLEH PARA HAMBA BAHAWA DIA MENERIMANYA KERANA ADA PERSIAPANNYA.
Allah s.w.t adalah Maha Esa, tidak ada sesuatu bersekutu dengan-Nya. Dia tidak bersekutu dengan amal hamba-Nya, ilmu hamba-Nya, doa hamba-Nya, hajat hamba-Nya, rencana hamba-Nya, persiapan hamba-Nya dan apa sahaja yang zahir serta yang batin. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, Dia tidak terikat kepada sebab dan akibat. Kurniaan yang besar untuk seseorang hamba-Nya adalah si hamba itu dipertemukan dengan hakikat bahawa Allah s.w.t Maha Berdiri Dengan Sendiri. Pertemuan dengan sifat ini membuat si hamba mengenali akan keesaan Allah s.w.t. Salah satu cara Allah s.w.t memperkenalkan sifat Berdiri-Nya Dengan Sendiri kepada hamba-Nya adalah dengan memberikan kurniaan-Nya kepada hamba-Nya secara tiba-tiba hingga kurniaan itu tidak boleh disebabkan kepada sesuatu melainkan dinisbahkan kepada Allah s.w.t sahaja. Allah s.w.t berfirman:
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )
Dia Yang Awal tanpa permulaan, Yang Akhir tanpa kesudahan, Yang Zahir ada kenyataan-Nya pada makhluk dan Yang Batin tersembunyi dari makhluk-Nya. Dia mengetahui amal hamba-Nya sebelum si hamba itu beramal. Dia mengetahui doa hamba-Nya sebelum si hamba itu berdoa. Dia mengetahui ilmu hamba-Nya sebelum si hamba itu berpengetahuan. Bahkan Dia mengetahui gerak dan diam hamba-Nya sebelum si hamba itu diciptakan. Yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin tidak terlepas dari pengetahuan-Nya kerana Ilmu-Nya adalah Ilmu Yang Awal, Ilmu Yang Akhir, Ilmu Yang Zahir dan Ilmu Yang Batin. Segala sesuatu itu telah ada dalam Ilmu-Nya dan tetap ada dalam Ilmu-Nya tanpa tertakluk kepada penciptaan makhluk-Nya
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah s.w.t. ( Ayat 22 : Surah al-Hadiid )
Tarikan yang langsung dari Allah s.w.t menghela pandangan mata hati daripada benda-benda alam dan kejadian alam kepada Pencipta alam, Pengatur segala urusan. Beginilah Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Proses ini dinamakan pengalaman hakikat yang menghasilkan makrifat. Ilmu tentang hakikat atau biasanya dipanggil ilmu hakikat, dinamakan juga ilmu Rabbani (ilmu yang dinisbahkan kepada ketuhanan) atau ilmu laduni (ilmu yang diterima secara langsung dari Allah s.w.t), tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal. Tidak ada jalan atau persiapan yang memastikan seseorang akan memperolehinya. Ia adalah semata-mata kurniaan dari Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang layak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Hanya Allah s.w.t yang mengetahui siapakah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang layak mengenali-Nya. Hanya Allah s.w.t yang berhak menetapkan bila dan bagaimana Dia harus dikenali.
Bila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya disampaikan kepada hamba-Nya itu ilmu hakikat, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Tiba-tiba sahaja Nur Ilahi menerangi hati si hamba itu dan terbukalah mata hatinya untuk syuhud kepada Tuhannya. Hamba itu pun berpengetahuan bahawa Ilmu Allah s.w.t yang sempurna meliputi sejak azali hingga kepada tiada kesudahan. Dia pun berpengetahuan bahawa Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesuatu apa pun yang ikut campur dalam urusan-Nya. Dia pun berpengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t. Semakin mendalam makrifatnya semakin luas pula ilmu pengetahuannya, bertambah teguhlah pegangan tauhidnya.
_______________________
80: TANDA KEJAHILAN AHLI HAKIKAT
JIKA KAMU MELIHAT SESEORANG (AHLI HAKIKAT) MENJAWAB SETIAP PERTANYAAN DAN MENERANGKAN SETIAP PENGLIHATAN (MATA HATI) DAN MENCERITAKAN SETIAP YANG DIKETAHUINYA, MAKA KETAHUILAH BAHAWA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH TANDA KEJAHILANNYA.
Manusia digesa supaya menggunakan akal fikirannya untuk mengkaji tentang kejadian-kejadian alam maya ciptaan Tuhan Maha Pencipta. Semakin mendalam pengetahuan tentang ciptaan Allah s.w.t, semakin kelihatan kebesaran dan keagungan-Nya. Bertambah pula keinsafan tentang kelemahan yang ada pada diri manusia terutamanya dalam menghuraikan hal ketuhanan. Ilmu pengetahuan yang mahir dalam perbahasan tentang makhluk menjadi tidak bermaya apabila mencuba menyingkap Rahsia-rahsia ketuhanan. Bila mengakui akan kejahilan dirinya seseorang itu menyerahkan dirinya dengan beriman kepada Allah s.w.t. Penyerahan ini dinamakan aslim dan orang yang berbuat demikian dinamakan orang Islam. Orang yang beriman tidak membahaskan tentang Allah s.w.t kerana mereka mengakui kelemahan akal dalam bidang tersebut.
Bidang yang tidak dapat diterokai oleh akal masih mampu dijangkau oleh hati. Hati yang suci bersih mengeluarkan cahayanya yang dinamakan Nur Kalbu. Nur Kalbu menerangi akal dan bersuluhkan cahaya Nur Kalbu ini, akal dapat menyambung kembali perjalanannya dari ‘stesen’ ia telah berhenti. Perjalanan akal yang diterangi oleh cahaya Nur Kalbu mampu menyingkap perkara-perkara yang ghaib dan beriman dengannya walaupun akal manusia umum menafikannya.
Terdapat perbezaan yang besar antara akal biasa dengan akal yang diterangi oleh nur. Akal biasa beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan dalil-dalil yang nyata dan logik. Akal yang beserta nur mampu menyelami di bawah atau di sebalik yang nyata iaitu perkara ghaib, dan beriman kepada Allah s.w.t berdasarkan pengalaman tentang perkara-perkara ghaib. Walaupun perkara ghaib itu tidak dapat diterima oleh akal biasa, tetapi akal yang bersuluhkan nur tidak sedikit pun ragu-ragu terhadapnya. Pengetahuan yang terhasil dari cetusan atau tindakan nur ini dinamakan ilmu hakikat, ilmu ghaib, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Walau apa pun istilah yang digunakan, ia adalah pengetahuan tentang ketuhanan yang didapati dengan cara mengalami sendiri tentang hal-hal ketuhanan, bukan menurut perkataan orang lain, dan juga bukan menurut sangkaannya sendiri. Hatilah yang mengalami hal-hal tersebut dan pengalaman ini dinamakan pengalaman rasa, zauk atau hakikat. Apa yang dialami oleh hati tidak dapat dilukiskan atau dibahasakan. Lukisan dan bahasa hanya sekadar menggerakkan pemahaman sedangkan hal yang sebenar jauh berbeza. Jika hal pengalaman hati dipegang pada lukisan dan bahasa ibarat, maka seseorang itu akan menjadi keliru. Jika lukisan dan simbol diiktikadkan sebagai hal ketuhanan maka yang demikian adalah kufur!
Pemegang ilmu ghaib terdiri daripada dua golongan. Golongan pertama adalah orang yang terlebih dahulu memasuki bidang pembelajaran tentang tauhid dan latihan penyucian hati menurut tarekat tasauf. Pembelajaran dan latihan yang mereka lakukan tidak membuka bidang hakikat. Ini membuat mereka mengerti akan nilai dan kedudukan ilmu ghaib yang sukar diperolehi itu. Mereka hanya dapat belajar, melatih diri, kemudian menanti dan terus menanti. Jika Allah s.w.t berkenan maka dikurniakan sinaran nur yang menerangi hati si murid itu. Si murid itu pun mengalami dan berpengetahuan tentang hakikat. Pengetahuan yang diperolehi itu sangat berharga baginya dan dijaganya benar-benar, tidak dibukakannya kepada orang lain kerana dia tahu yang orang ramai sukar memahami perkara yang telah dialaminya itu.
Pemegang ilmu ghaib golongan kedua tidak pula melalui proses pembelajaran dan latihan seperti golongan pertama. Golongan ini tiba-tiba sahaja dibukakan hakikat kepada mereka (hanya Allah s.w.t mengetahui mengapa Dia berbuat demikian). Oleh sebab mereka memperolehinya dengan mudah dan tanpa asas pengetahuan yang kuat, mereka tidak mengetahui nilai sebenar pengetahuan yang mereka perolehi itu. Mereka menyangkanya sebagai ilmu biasa. Lantaran mereka memahaminya mereka menyangka orang lain juga memahaminya. Sebab itu mereka mudah memperkatakan ilmu tersebut di hadapan orang ramai. Oleh sebab ilmu ini tidak dapat diceritakan kecuali dengan ibarat, satu daripada dua kemungkinan akan berlaku. Pertama, lantaran orang ramai melihat latar belakang orang hakikat tadi tidak mempunyai asas agama yang kuat, bukan orang alim, maka mereka menganggapnya pembohong dan pembawa cerita khayal. Kedua, kemungkinan ada orang yang mempercayainya tetapi kepercayaan itu tertuju kepada ibarat bukan kepada yang diibaratkan. Kedua-dua kemungkinan tersebut adalah tidak sihat. Sebab itu dilarang keras memperkatakan tentang ilmu hakikat kepada bukan ahlinya. Orang yang membeberkannya dengan mudah disebut orang jahil yang tidak tahu nilai berlian yang ada padanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar